Liverpool menang lagi, samai rekod City

Liverpool menang lagi, samai rekod City

LIVERPOOL,. Liverpool merekodkan kemenangan ke-18 berturut-turut dalam dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila kembali bangkit bagi menewaskan West Ham United 3-2, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp hampir tercicir mata buat kali pertama sejak keputusan seri dengan Manchester United pada 20 Oktober lalu selepas ketinggalan di babak kedua perlawanan yang berlangsung di Anfield itu.

Georginio Wijnaldum meletakkan Liverpool di depan apabila membuka tirai jaringan pada minit kesembilan tetapi Issa Diop menyamakan kedudukan buat West Ham tiga minit kemudian.

Pablo Fornals meletakkan West Ham di depan sebaik babak kedua bersambung menerusi jaringannya minit ke-54 namun Mohamed Salah menyamakan kedudukan minit ke-68 untuk merekodkan gol ke-19 bagi musim ini.

Sadio Mane muncul wira The Reds apabila meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki sembilan minit untuk tamat sekali gus meletakkan pasukan itu kini berkelebihan 22 mata dengan penghuni tangga kedua, Manchester City.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Klopp menyamai rekod Manchester City yang turut merekodkan 18 kemenangan berturut-turut dalam saingan liga antara Ogos dan Disember 2017.

“Saya tidak pernah terfikir ia akan dipecahkan atau menyamainya. Kami berjaya lakukannya dan secara jujurnya saya tidak percaya ia berlaku.

“Tidak kira apa jua yang akan berlaku musim ini, ia adalah usaha kami semua,” kata Klopp.

Kemenangan ke-21 berturut-turut di Anfield itu juga menyaksikan mereka menyamai rekod kemenangan di laman sendiri yang dicipta ketika di bawah bimbingan Bill Shankly antara Januari dan Disember 1972.

Liverpool kini hanya memerlukan empat lagi kemenangan dalam baki 11 perlawanan bagi memastikan gelaran juara liga menjadi milik mereka buat kali pertama sejak 1990. – AFP

Anak buah Klopp mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 44 perlawanan terakhir liga, hanya kurang lima bagi menyamai rekod sepanjang zaman yang dicipta Arsenal.

“Kamu lihat City bermain dan ini adalah pasukan yang mampu menang semua perlawanan mereka. Kami perlu terus mencatat kemenangan,” kata Klopp. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)