LKIM arah tambah penghantaran bekalan ikan ke negeri terjejas banjir

LKIM arah tambah penghantaran bekalan ikan ke negeri terjejas banjir

BUKIT MERTAJAM,. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengarahkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan persatuan nelayan negeri supaya meningkatkan penghantaran bekalan ikan ke negeri-negeri terlibat banjir bagi memastikan bekalan mencukupi dan tidak berlaku peningkatan harga.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya memberi jaminan stok bekalan ikan mencukupi untuk keperluan seluruh negara termasuk di beberapa negeri dilanda banjir seperti Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Banjir yang berlaku di beberapa negeri telah menjejaskan mata pencarian nelayan terlibat, namun setakat ini bekalan ikan mencukupi.

LKIM turut menyediakan bekalan menerusi stok simpanan ikan segar beku atau ‘Q’Fish’ bagi memastikan bekalan ikan dalam negara sentiasa mencukupi terutama ketika musim tenkujuh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah, di sini hari ini.

Pada program itu, seramai 110 murid sekolah kurang berkemampuan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dan anak-anak nelayan Ujong Batu menerima peralatan sekolah dan baucar pembelian pakaian sekolah bernilai RM200 setiap seorang.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir memberi amaran kepada peniaga dan orang tengah agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan di negeri terjejas banjir.

Beliau berkata LKIM telah membuat persediaan awal bagi memastikan bekalan ikan mencukupi termasuk menyimpan dan menambah stok ikan selain menyediakan bekalan ikan sejuk segar pada harga yang murah.

“Jadi, usaha yang kami buat ini akan dapat menstabilkan harga ikan. Harga ikan ini bergantung kepada pemintaan, tapi apa saya boleh kata harga tidak akan naik sebab kami membuat persediaan awal bagi memastikan stok mencukupi, jadi tidak timbul isu bekalan berkurangan sehingga harga ikan dinaikkan oleh orang tengah dan peniaga.

“Kami tidak ada satu punca kuasa untuk menetapkan harga ikan di pasaran jadi kami perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk memastikan tidak ada kenaikan harga mendadak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga mengambil langkah untuk mengehadkan pengeskportan ikan bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi terutama ketika musim perayaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )