LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pagi ini

LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pagi ini

KUALA LUMPUR,. Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mula mengoperasikan pam air mentah pagi ini untuk kerja pembersihan paip air mentah dan tangki-tangki rawatan air.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata ia berikutan ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk LRA Sungai Semenyih telah mencatatkan bacaan 0 TON (ukuran kadar bau) tiga kali berturut-turut.

“Usaha merawat air mentah dan menstabilkan sistem LRA akan mengambil masa selama 12 jam sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada pengguna. Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti air dan pematuhan standard oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air secara berperingkat mengikut kawasan yang menerima air dari LRA Sungai Semenyih apabila proses menstabilkan rawatan air dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, ujian persampelan yang dijalankan sehingga pukul 8 pagi ini masih mengesan pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada tahap 1 TON.

Beliau berkata Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 92 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah-sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.

Sebanyak 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas, katanya.

Sebanyak 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lepas ekoran operasi di dua LRA berkenaan dihentikan akibat insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)