LTAT batal cadangan penswastaan Boustead Holdings

LTAT batal cadangan penswastaan Boustead Holdings

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penswastaan Boustead Holdings Bhd (BHB), pada masa ini.

LTAT yang mempunyai kepentingan sebanyak 59.42 peratus dalam BHB, telah memaklumkan Lembaga Pengarah kumpulan itu bahawa keputusan tersebut dicapai selepas mengambil kira pelbagai faktor berisiko bagi merealisasikan cadangan itu, terutama dalam persekitaran ekonomi semasa yang mencabar akibat COVID-19 serta pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Mengambil kira perkembangan tersebut, kedua-dua pihak telah sama-sama bersetuju agar pengurusan kumpulan lebih menumpukan strategi pembaharuan ‘Reinventing Boustead’ yang baharu dirangka dalam usaha memantapkannya semula,” demikian menurut konglomerat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

BHB berkata strategi itu membabitkan usaha pembentukan nilai dalam perniagaan teras sedia ada, mengubah model perniagaan, merasionalisasi beberapa aset bukan strategik serta menceburi sektor perkhidmatan digital dan teknologi.

Sementara itu Pengerusi BHB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata LTAT dan kumpulan itu telah mencapai persetujuan bersama untuk tidak meneruskan cadangan tersebut pada masa ini selepas melakukan kajian menyeluruh serta berbincang dengan pihak berkepentingan yang relevan.

“Kami menyambut baik keputusan ini kerana pihak pengurusan BHB kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha memanfaatkan peluang sedia ada serta mempercepatkan aspek pembentukan nilai.

“Malah, kami juga lebih jelas terhadap langkah yang perlu diambil bagi mempertingkat prospek perniagaan serta memaksimumkan pulangan untuk pihak berkepentingan utama — anggota tentera yang menyumbang kepada LTAT,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas strategi pembaharuan ‘Reinventing Boustead,’ Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata dalam tempoh beberapa minggu lagi, BHB akan mula melancarkan satu persatu inisiatif berkaitan untuk melonjakkan usaha yang dapat memenuhi jangkaan para pemegang sahamnya.

“Langkah melakukan penciptaan semula ini adalah sesuatu yang amat diperlukan sekarang. Kami komited untuk mentransformasi perniagaan teras agar lebih tangkas, digital dan mampan.

“Ini menerusi usaha penambahbaikan kreativiti dan inovasi berterusan model perniagaan, pemantapan asas secara tadbir urus dan integriti yang tiada kompromi,” katanya.

Dalam pada itu, LTAT berkata sebagai pemegang saham utama, ia menyokong rancangan BHB untuk meneruskan serta menjayakan pelaksanaan pelan pemulihan dan strategi-strategi bagi memacu pertumbuhannya.

“LTAT akan terus meneliti pilihan seiring dengan objektifnya untuk memelihara serta meningkatkan nilai aset di bawah portfolio serta menambah pulangan jangka panjang untuk para pencarum,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )