LTdl: Pasukan Vino Astana sedia cabar pasukan pro dunia

LTdl: Pasukan Vino Astana sedia cabar pasukan pro dunia

KUALA LUMPUR,. Pasukan Pro Benua Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Vino-Astana Motors (VAM) dari Kazakhstan, akan memulakan cabaran perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dan yakin untuk bersaing dengan pasukan yang lebih besar dan berpengalaman dalam Jelajah Profesional Dunia dan Benua dari 6 hingga 15 Feb depan.

Walaupun turun tanpa Vadim Pronskiy yang meraih tempat ketiga keseluruhan pada edisi 2019, pasukan itu yakin untuk menaruh harapan tinggi pada pelumba muda berusia 20-an Igor Chzhan dan Yevgeniy Fedorov, 19.

Chzhan yang sebati dengan cuaca panas negara ini, diberikan tanggungjawab itu selepas berjaya mendapat tempat kedua keseluruhan Jelajah Semenanjung pada Oktober lepas, sementara Fedorov menguasai acara kejohanan bawah-23 ujian masa Asia dan mendapat tempat kedua perlumbaan jalan raya Kejohanan bawah-23 Asia tahun lepas.

VAM juga menagih pelumba berpengalaman berumur 27 tahun, Matvey Nikitin, pemenang Grand Prix Odessa di Ukraine pada Jun tahun lepas, yang akan dibantu pelumba muda Grigoriy Shtein dan Alexandr Semenov pada perlumbaan di peringkat laluan landai.

“Chzhan dan Fedorov, bersama Gleb Brussinskiy, 19, akan menggalas harapan utama pasukan, yang mereka diharapkan berjaya dalam persaingan itu sekurang-kurangnya untuk peringkat Asia jika tidak secara keseluruhan,” menurut penganjur Human Voyage Sdn Bhd dalam satu kenyataan.

Pasangan pelumba Fedorov dan Nikitin yang pakar dalam perlumbaan seharian, juga dilihat akan menyertai perlumbaan permulaan Resorts World Genting Kota Kinabalu Criterium International pada Khamis dan pasca perlumbaan Kejohanan Perlumbaan Klasik MMC Malaysia Langkawi sebagai bonus pada 15 Feb ini.

LTdL edisi ke-25 akan bermula di Kuching pada Jumaat ini sebelum menyeberangi Laut China Selatan ke Kuala Terengganu untuk peringkat kedua, kemudian pelumba akan meneruskan perlumbaan ke pantai barat Semenanjung, dan peringkat keempat pendakian ke Genting Highlands sebelum perlumbaan diteruskan ke utara yang akan berakhir di Pulau Langkawi.

Barisan pelumba VAM: Matvey Nikitin, Igor Chzhan, Yevgeniy Fedorov, Grigoriy Shtein, Alexandr Semenov dan Gleb Brussenskiy (warga Kazakhstan).

Pelumba gantian: Stepan Astafyev, Alexandr Ovsyannikov, Logan Shtein (warga Kazakhstan).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)