LTTE: Peniaga gagal peroleh jaminan

KUALA LUMPUR,. Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peniaga B.Subramaniam yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE, supaya dibebaskan dengan jaminan sehingga kesnya selesai.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan kesalahan di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan berkaitan keganasan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin menurut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pemohon bahawa Seksyen 13 SOSMA adalah tidak berperlembagaan, oleh itu permohonan pemohon ditolak,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Aslinda Ahad manakala peguam S.Selvam mewakili Subramaniam.

Selvam ketika ditemui pemberita berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu hari ini.

Pada Disember tahun lepas, Subramaniam, 57, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘US SUBRA SUBRAMANIAM’.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, pada 5.30 petang dan 6 petang, 7 dan 10 Okt 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pada 29 Jan lepas, Mahkamah Tinggi lain juga menolak permohonan jaminan yang difailkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan yang menghadapi pertuduhan memiliki item dan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dalam penghakimannya berkata Kementerian Dalam Negeri melalui Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) telah mewartakan LTTE sebagai entiti ditentukan berkaitan dengan suatu perbuatan keganasan yang mempunyai erti yang sama dengan Seksyen 130B Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )