Lukisan mural Laman Samudera tarikan terbaharu pelancong ke Mersing

Lukisan mural Laman Samudera tarikan terbaharu pelancong ke Mersing

MERSING,. Daerah Mer-sing yang terkenal dengan keindahan pulau dan pantai peranginan seringkali menjadi destinasi pilihan buat pelancong, terutama mereka yang gemar melakukan aktiviti seperti selam skuba dan selam snorkel.

Namun, selain menikmati pemandangan lautan biru yang mempesonakan, terdapat satu lagi tarikan terbaharu di Mersing, iaitu lukisan mural di Laman Samudera terletak berhampiran jeti penumpang Mersing yang hanya mengambil masa tiga minit berjalan kaki.

Pelbagai corak lukisan mural yang menarik dan kreatif menghiasi Laman Samudera di Jalan Abu Bakar di sini, yang pastinya mengujakan tatkala pelancong menyusuri lorong dan bangunan-bangunan lama sekitar bandar kecil ini.

Yang pasti, lorong mural yang bertemakan lautan, hutan dan Taman Negara ini semakin dikenali dan menjadi tempat ‘wajib’ untuk pelawat ke Mersing merakam gambar kenangan, khususnya mereka yang gemar berfotografi.

Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing Norazmi Amir Hamzah berkata lokasi tumpuan pejalan kaki yang dikenali sebagai Laman Samudera itu telah dibaik pulih dan dinaik taraf setelah melihat ia berpotensi menjadi salah satu tarikan terbaharu pelancongan di daerah ini.

“Lukisan tersebut merupakan hasil kreativiti sembilan anak tempatan dengan konsep hutan dan Taman Negara sedang disiapkan. Seterusnya, kita merancang untuk buat konsep sejarah berkaitan Mersing bagi mengangkat potensi karya tempatan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Katanya, pihak berkuasa tempatan juga merancang untuk menjadikan lorong tersebut sebagai tempat beriadah pilihan penduduk sekali gus dapat membantu masyarakat menjana pendapatan serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong untuk bergambar dan berkongsi di laman sosial mereka seperti Instagram dan Facebook sekali gus mempromosi (secara percuma) destinasi menarik untuk dilawati di Mersing,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan Suria Kerel, 31, ketika ditemui berkata Laman Samudera merupakan antara lokasi wajib dilawati dan merakam gambar kenangan.

“Saya memang ‘gila’ bergambar tambahan pula, latar belakang lukisan mural ini sangat menarik. Saya berharap projek seumpama ini diperluas di lokasi lain yang dirasakan bersesuaian supaya dapatlah ‘kaki bergambar’ seperti saya ni merakam banyak gambar,” kata ibu dua anak itu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)