
MAB dalam kedudukan baik bersaing dalam persekitaran mencabar
KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines System yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Bhd (MAB), berada dalam kedudukan baik untuk mengharungi persaingan dalam persekitaran penerbangan serba mencabar pada masa ini.
Ketika berkongsi keyakinan itu, mantan Pengarah Urusan Malaysia Airlines System (MAS) Datuk Kamaruddin Ahmad berkata keutamaan itu termasuk untuk mengekalkan operasi dan pada masa sama perlu mengenal pasti kaedah bagi meningkatkan sistemnya.
“Keadaan penerbangan sebelum ini memang jauh berbeza. MAS pada masa itu tidak mempunyai saingan dalam usahanya berkhidmat untuk negara. Namun kini, syarikat-syarikat penerbangan tempatan berdepan banyak persaingan.
“MAB misalnya kini giat meningkatkan produktiviti dengan teknologi dan pendigitalan yang memberi manfaat kepada syarikat pada masa depan serta dalam persaingan perniagaan penerbangan komersial,” katanya kepada Bernama pada majlis sambutan Jubli Emas MAS 1972-2022 baru-baru ini.
Kira-kira 400 bekas kakitangan MAS berkumpul pada malam Sabtu lepas bagi meraikan 50 tahun penubuhan syarikat itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group Kapten Izham Ismail berkata syarikat penerbangan itu telah menempuh pelbagai perjalanan menarik sejak beberapa dekad lepas dalam mengekalkan kelangsungannya.
“Ini termasuk permulaan awal syarikat penerbangan negara menerusi Malayan Airways Ltd (MAL) dan seterusnya MAS serta organisasi penerbangan global pada hari ini (MAB). Malah, perjalanan suka duka itu turut disaksikan sendiri oleh ramai pekerjanya.
“Saya yakin kita telah meletakkan asas yang tepat dalam organisasi ini untuk meraih kejayaan lebih bermakna dalam dekad-dekad akan datang,” katanya.
— BERNAMA