Macau scam: Guru rugi lebih setengah juta

Macau scam: Guru rugi lebih setengah juta

KUALA TERENGGANU,. Seorang guru wanita kerugian lebih setengah juta selepas terpedaya dengan taktik sindiket Macau Scam yang mendakwa beliau memiliki waran tangkap bersabit kes pengubahan wang haram.

Kejadian dikatakan berlaku pada awal April hingga Jun lalu membabitkan wang lebih RM655,000 yang dibuat menerusi 68 transaksi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa menerima panggilan telefon dari Pos Laju Kuala Lumpur memaklumkan terdapat bungkusan atas nama mangsa yang mengandungi salinan kad pengenalan dan lapan kad mesin juruwang automatik (ATM).

Katanya, mangsa menerima panggilan itu pada pertengahan April di rumahnya di Marang tetapi beliau menafikan perkara itu dan diminta membuat laporan polis.

“Mangsa kemudian menerima panggilan telefon +87088454222 kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, sebelum dimaklumkan mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram oleh lelaki menyamar sebagai Sarjan Azlani Palan.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi lelaki sebelum diminta bercakap dengan seorang lagi lelaki yang menyamar sebagai Asisten Superintendan Fauzi.

“Suspek memberitahu mangsa mempunyai waran tangkap dan perlu membuat pemindahan wang sebanyak RM168,789 bagi tujuan menangguhkan penangkapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslee berkata, mangsa kemudian memberi 68 nombor TAC kepada suspek sebelum mendapati terdapat 68 transaksi pemindahan wang berjumlah RM655,046.95 pada penyata bank ketika membuat semakan akaun.

Beliau berkata, transaksi dibuat dari lima akaun mangsa, iaitu dua akaun simpanan Bank Muamalat dan masing-masing satu dari akaun semasa Bank Muamalat, RHB Bank dan Agro Bank.

“Semua wang berkenaan wang simpanan dan pelaburan bank termasuk wang pinjaman bank sebanyak RM79,000 dan RM120,000 yang dibuat mangsa, kononnya atas nasihat seorang daripada rangkaian suspek,” katanya.

Katanya, sebaik melihat penyata bank, mangsa kemudian menghubungi IPK Sabah, sebelum menyedari menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Payung, Marang, Selasa lalu dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Roslee menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya pada individu yang berurusan menggunakan telefon atau media elektronik atau media sosial lain serta tidak sesekali mudah memberi butir peribadi atau bank.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )