MACCOPS 2019 catat nilai dagangan hadapan sebanyak RM293 juta

JOHOR BAHRU,. Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) 2019 anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) secara keseluruhan mencatatkan nilai dagangan hadapan berjumlah RM293 juta, sekali gus mengatasi sasaran ditetapkan.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah yang juga presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN, berkata nilai itu diperoleh menerusi pemeteraian 13 Memorandum Persefahaman (MoU) serta 91 sesi padanan perniagaan dan transaksi perniagaan oleh 45 koperasi dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata MoU yang ditandatangani itu melibatkan negara seperti Kemboja, Brunei, Maghribi, Hungary, Thailand dan Singapura manakala padanan perniagaan meliputi sektor seperti kesihatan, komoditi dan hartanah.

“Dagangan hadapan dan urus niaga yang dicatatkan mengatasi sasaran ditetapkan pada RM200 juta. Pada 2017 kita hanya catat RM187 juta, kali ini pertambahan lebih RM100 juta.

“Saya percaya mungkin akan ada peningkatan lagi (nilai dagangan) kerana masih ada perbincangan perniagaan yang belum dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup MACCOPS 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pembangunan Usahawan, Muhammad Razman Abu Samah dan Naib Presiden Angkasa merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk MACCOPS 2019, Dr Mohd Azlan Yahya.

Abdul Fattah berkata urus niaga Bazar Jualan Harga Patut Koperasi merekodkan nilai jualan hampir RM500,000.

Bazar itu menawarkan lebih 163 barangan keperluan asas kepada para pengunjung dengan pengurangan harga sehingga 15 peratus, lebih rendah daripada harga pasaran, katanya.

Beliau berkata ini sekali gus membantu menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung ke karnival berkenaan yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis di Persada.

MACCOPS edisi keempat itu disifatkan yang paling berjaya kerana melibatkan penyertaan koperasi dari 20 buah negara seperti Korea Selatan, Filipina, Brunei, China, Vietnam dan India, katanya.

“Kita amat berpuas hati terutamanya dapat kerjasama baik daripada ahli koperasi yang menyertai dan juga kementerian.

“Ini menunjukkan gerakan koperasi bukan sahaja menjadi penggerak utama ekonomi rakyat malah berkeupayaan menembusi pasaran global menerusi penglibatan dalam sektor pembangunan perniagaan yang berimpak tinggi selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )