MACEOS: Penganjuran semula acara perniagaan rancakkan kembali ekonomi

MACEOS: Penganjuran semula acara perniagaan rancakkan kembali ekonomi

KUALA LUMPUR,. Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) menggesa kerajaan menarik balik larangan ke atas penganjuran acara perniagaan di samping menyarankan pelaksanaan prosedur operasi standard norma baharu demi keselamatan dan kesihatan masyarakat.

Presidennya Datuk Vincent Lim mencadangkan rancangan yang sistematik bagi pembukaan acara perniagaan secara berperingkat dimulai pasaran domestik bagi fasa pertama, manakala fasa kedua iaitu selepas sekatan perjalanan antarabangsa ditarik balik, akan menarik kehadiran pengembara perniagaan ke Malaysia.

Lim berkata selepas kerajaan membenarkan acara perniagaan untuk kembali beroperasi di pasaran domestik, ia akan membantu merangsang perniagaan seperti hotel tempatan, pusat konvensyen, makanan dan minuman dan sektor-sektor lain yang berkaitan.

“Acara perniagaan merupakan industri yang saling berkaitan. Manfaat kepada ekonomi akan melimpahi banyak sektor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, acara perniagaan berpotensi membantu memulakan semula dan merancakkan kembali ekonomi Malaysia dengan cepat.

Menurut Lim, acara perniagaan tidak sepatutnya dikategorikan sebagai ‘perjumpaan membabitkan orang ramai’ berikutan ia dilaksanakan dengan kawalan yang ketat serta suasana terkawal melibatkan protokol keselamatan yang tegas.

Sementara itu, MACEOS dengan kerjasama Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) dan diketuai oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) akan menyerahkan dokumen kepada kerajaan yang diharap memberi keyakinan kepada pihak berkuasa dan rakyat mengenai kesediaan industri itu untuk meminimumkan risiko kesihatan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Lim, dokumen itu menggariskan rangka kerja menyeluruh berkaitan kesihatan dan keselamatan dan amalan terbaik industri di seluruh dunia sebagai garis panduan untuk menganjurkan acara perniagaan dan mesyuarat dalam norma baharu.

“Langkah ini juga adalah selari dengan peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia dan merangkumi beberapa protokol penting seperti menjalankan operasi sanitasi di lokasi penganjuran, semakan status kesihatan para perwakilan, mengawal orang ramai, prosedur pengesanan kontak, langkah penjarakan sosial dan sebagainya,” katanya.

MACEOS berkata sehingga Mei, industri acara perniagaan merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM1.75 bilion yang menjejaskan 1,250 acara perniagaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )