Mahathir ajak pembangkang tolak RUU Perbekalan Tambahan

Mahathir ajak pembangkang tolak RUU Perbekalan Tambahan

PARLIMEN – Wakil rakyat pembangkang hari ini meminta Dewan Rakyat menolak Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 atas faktor kewangan negara.

Rang undang-undang itu bertujuan menguntukkan semula sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2020 dan bagi memperuntukkan jumlah wang tersebut untuk maksud-maksud yang tertentu bagi bahagian tahun itu.

Menurut rang undang-undang itu, berikutan pembentukan kabinet baharu pada 10 Mac 2020, beberapa kementerian telah disusun dan dinamakan semula, selain penubuhan beberapa kementerian baharu dan satu kementerian dibubarkan dengan fungsi-fungsinya dipindahkan kepada kementerian-kementerian lain.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) ketika membahaskan rang undang-undang itu berkata mengambil kira situasi ekonomi dan pendapatan negara kini yang terjejas akibat Covid-19, kerajaan tidak seharusnya menambahkan lagi perbelanjaan negara.

“Dalam situasi ini (Covid-19) kerajaan sepatutnya kurangkan perbelanjaan supaya kita tidak mempunyai defisit terlalu tinggi tetapi kita dapati kerajaan bercadang menambah perbelanjaan,” katanya.

Bekas perdana menteri itu juga berkata tindakan kerajaan menambah bilangan ahli kabinet dan membentuk kementerian baharu dilakukan tanpa mengambil kira kemampuan kewangan semasa kerajaan.

“Ketika pendapatan berkurangan, (kerajaan) tambah menteri sehingga lebih 30 (orang) dan ada pula menteri istimewa yang menjadi menteri kanan dan menteri yang ditugas untuk menjaga perhubungan dengan negara timur tengah.

“Mereka ini diberi taraf menteri bermakna mereka akan dibayar gaji menteri dengan segala kemudahan diberikan kepada mereka. (Perbelanjaan) Ini akan mengurangkan keupayaan negara untuk mengurus tindakan kerajaan bagi melawan Covid-19 ini,” katanya.

Senada dengan beliau, Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berkata penubuhan kementerian-kementerian baharu itu akan memerlukan penambahan emolumen buat menteri, timbalan-timbalan menteri dan ketua setiausaha bagi kementerian terbabit.

“Ini tidak ditunjuk dalam rang undang-undang ini. Saya cabar Menteri Kewangan letak tambah jumlah yang diperlukan untuk emolumen menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian-kementerian yang baharu.

“Kalau tidak, kita tak boleh luluskan rang undang-undang ini, kerana dahulu semasa pentadbiran PH kita ada sejumlah menteri dan timbalan menteri hanya 48 (orang) tetapi sekarang kita ada dekat 70 (orang)…,” katanya.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)