Mahathir tekankan penyelesaian pertikaian secara aman

NEW YORK,.Tun Dr Mahathir Mohamad menonjolkan ironi masyarakat antarabangsa yang menganggap diri mereka bertamadun ketika sebenarnya mereka masih sangat primitif apabila mereka menerima perbuatan membunuh orang sebagai kaedah untuk menyelesaikan pertikaian antara negara-negara atau dalam negara.

Berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa Malaysia telah melancarkan kempen untuk menjadikan peperangan sebagai satu jenayah, selaras dengan objektif PBB.

“Tidak masuk akal untuk menggantung pembunuh kerana membunuh seseorang tetapi memuliakan orang-orang yang bertanggungjawab atas kematian jutaan manusia. Peperangan moden adalah menyeluruh dari semua segi, bukan sahaja para pejuang terbunuh tetapi juga orang yang tidak bersalah, kanak-kanak, yang sakit dan tidak berupaya juga terbunuh dan cedera.

“Seluruh negara hancur dan wang bertrilion hilang. Akhirnya, kedua-dua yang menang dan kalah menderita,” katanya dalam pernyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 UNGA di sini, Jumaat.

Beliau berkata terdapat cara lain untuk menyelesaikan pertikaian seperti rundingan atau menyerahkan kepada timbangtara oleh pihak ketiga serta merujuk kepada perundangan – Mahkamah Dunia, misalnya Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Malaysia bukan sahaja bercakap, tetapi kita menyelesaikan pertikaian dengan jiran-jiran kita melalui rundingan dan juga melalui Mahkamah Dunia. Ada yang kita menang dan ada yang kita kalah tetapi tiada siapa yang terbunuh,” kata Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan sebagai tidak masuk akal cakap-cakap tidak boleh (ambil) “seinci pun daripada wilayah saya”.

“Kita tahu bahawa jika kita pergi berperang, inci itu akan menelan kos lebih daripada nilainya. Apabila seseorang itu ke mahkamah dia tidak selalunya mendapat apa yang kita dakwa sebagai hak kita, tetapi sama juga dengan berperang. Kita tidak selalu menang,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa dalam pertandingan antara dua pihak, seseorang mesti kalah jika pihak yang satu lagi menang.

“Tetapi jika kita menggunakan cara damai, kita masih boleh kalah tetapi kerugiannya kurang, tiada siapa yang akan mati, atau tanah yang hancur,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Muin Abdul Majid

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )