Mahathir tidak patut keluar kenyataan sentuh isu sensitif, kaum – Ramanan

Mahathir tidak patut keluar kenyataan sentuh isu sensitif, kaum – Ramanan

KUALA LUMPUR,. Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya menimbulkan kenyataan yang menyentuh isu sensitif dan perkauman di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Datuk R. Ramanan.

Beliau berkata Dr Mahathir juga tidak seharusnya mempersoalkan kesetiaan dan semangat cinta akan negara bagi mana-mana kaum khususnya India di Malaysia.

“Saya India tetapi darah saya Malaysia, darah ini saya dapat dari Malaysia kerana saya lahir di sini. Kalau kita tidak sayang dan tak setia kepada negara, tahu tak berapa ramai askar dan polis (kaum India)? Seingat saya untuk bercakap mengenai kesetiaan, Tun (Mahathir) sendiri belum pernah pergi berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas melawat ibu pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Dalam masa sama, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata beliau tidak faham apa yang perlu dibuktikan kepada Dr Mahathir selepas segala khidmat dan bakti yang dicurahkan oleh askar dan polis berbangsa India tidak cukup untuk membuktikan kesetiaan kepada negara.

Beliau juga mendakwa bahawa pendirian bekas Perdana Menteri itu sendiri tidak konsisten dan sering bertukar parti politik.

“Kalau kita tengok dia (Dr Mahathir) hari ini mempunyai pendirian A, kemudian B, selepas itu C. Parti politik pun dia tidak boleh kekal setiap tahun, saya sudah lupa dia parti mana, saya pun keliru,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)