MAHB harap Bajet 2022 peruntuk insentif, sokongan bantuan bantu pulih hubungan udara

MAHB harap Bajet 2022 peruntuk insentif, sokongan bantuan bantu pulih hubungan udara

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berharap Bajet 2022 akan memperuntukkan insentif dan sokongan bantuan bagi memulihkan hubungan udara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengendali lapangan terbang itu berkata sokongan tersebut akan membolehkan pertumbuhan berterusan dalam sektor kargo dan logsitik bagi memenuhi Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk pilihan logistik ke Asia.

“Dengan sokongan itu, syarikat penerbangan penumpang boleh memulakan semula operasi mereka sebaik sahaja sekatan sempadan antarabangsa ditarik balik manakala syarikat penerbangan kargo sedia ada atau baharu boleh menyasarkan hubungan jarak jauh bagi pergerakan kargo,” kata syarikat itu kepada Bernama.

Ia berkata insentif bagi fi pendaratan dan kekerapan penerbangan akan menggalakkan lagi lebih banyak syarikat penerbangan kargo menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai rangkaian ‘hab’ mereka dan pada masa yang sama menarik lebih banyak pesawat penumpang kerangka kecil untuk beroperasi menerusi KLIA bagi menampung pertumbuhan penghantaran e-dagang dalam pasaran Asia Tenggara.

“Usaha kerajaan ini akan membantu mengelakkan ketirisan kargo kepada lapangan terbang pesaing seperti Singapura (Lapangan Terbang Changi) dan Bangkok (Lapangan Terbang Suvarnabhumi) dengan meningkatkan volum pengendalian menerusi KLIA,” katanya.

MAHB berkata ia telah membuat persiapan bagi penyambungan semula perjalanan udara secara beransur-ansur di peringkat domestik dan antarabangsa dan berharap kerajaan akan terus menyokong dan mengukuhkan usahanya untuk meningkatkan kedudukan sebagai pengendali lapangan terbang utama global apabila industri penerbangan rancak semula.

Syarikat itu juga berharap Bajet 2022 akan menyediakan sokongan bagi rakan perniagaan bukan penerbangan dan peruncit dalam lapangan terbang.

“Berikutan pergerakan penumpang yang merosot dengan ketara dan perjalanan antarabangsa yang terhad ketika pandemik, jualan peruncit telah terjejas teruk, terutamanya bagi perniagaan bebas cukai.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk kerajaan menyokong peruncit di lapangan terbang kami dan membantu mereka meringankan kerugian yang dialami semasa krisis itu,” katanya.

MAHB berkata antara penyelesaian yang dicadangkan meliputi pindaan terhadap Panduan kepada Pengembara di bawah Akta Kastam 1967 untuk menarik minat mereka membeli-belah dan meningkatkan lebih banyak jualan di Malaysia melalui semakan semula prosedur operasi standard seperti mengurangkan jangka masa hasrat melawat Malaysia atau selepas ketiadaan dari Malaysia, menjadi tidak kurang daripada 24 jam daripada 72 jam.

Selain itu, turut disarankan adalah semakan semula bagi meningkatkan kuota barangan seperti kelayakan minuman keras bagi setiap pelancong kepada dua liter berbanding satu liter pada masa ini, selain meningkatkan kelayakan tembakau bagi setiap pelancong kepada dua karton besar (outer carton) berbanding satu karton besar (outer carton) pada masa ini, kepada para penumpang yang tiba.

Pengendali lapangan terbang itu turut mencadangkan kerajaan untuk mempertimbang pengembangan operasi bebas cukai ke bahagian penerbangan domestik serta lapangan terbang antarabangsanya seperti KLIA, selain klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Melalui mekanisme sokongan seumpama ini kepada peruncit bebas cukai (yang lebih meluas), kami meramalkan perolehan kerajaan akan meningkat menerusi kutipan cukai yang lebih tinggi, manakala peruncit boleh mengosongkan lebihan stok dan produk bebas cukai, di samping meningkatkan inventori,” katanya.

Pada masa ini, zon bebas cukai yang diwartakan hanya melibatkan bahagian penerbangan antarabangsa.

Bajet 2022 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)