Mahkamah benar rayuan MIA kembalikan aduan Tony Pua terhadap juruaudit 1MDB

Mahkamah benar rayuan MIA kembalikan aduan Tony Pua terhadap juruaudit 1MDB

PUTRAJAYA,. Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan jawatankuasa tatatertibnya (DC) berjaya dalam rayuan mereka untuk mengembalikan semula aduan yang dikemukakan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua terhadap rakan kongsi Deloitte PLT, Ng Yee Hong berhubung audit penyata kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk See Mee Chun dan Mohamed Zaini Mazlan membenarkan rayuan MIA dan DC untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman Ng untuk mengetepikan aduan Pua.

Hakim Azizah dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan kekhilafan yang memerlukan campur tangan mahkamah rayuan.

Beliau berkata pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ng atas aduan Pua tidak sama dengan pertuduhan berhubung aduan yang dikemukakan sebelum ini oleh Andrew Anand Solomon Devasahayam.

Hakim Azizah berkata Ng telah memohon pendengaran prosiding tatatertib bagi aduan Pua ditangguhkan selepas pendengaran aduan Devasahayam dan oleh itu tidak timbul isu DC mengemukakan aduan yang sama.

Hakim Azizah berkata Ng telah memohon pendengaran prosiding tatatertib bagi aduan Pua ditangguhkan selepas pendengaran aduan Devasahayam dan oleh itu tidak timbul isu DC mengemukakan aduan yang sama.

Beliau memerintahkan Ng membayar kos RM20,000 masing-masing kepada DC dan MIA. Keputusan mahkamah itu disampaikan secara dalam talian.

Dua aduan berasingan dikemukakan oleh Devasahayam dan Pua pada 31 Mac 2015 dan 26 Mei 2015, mengenai tertib profesional Ng sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 2013 dan 2014.

DC mendapati Ng bersalah atas aduan Devasahayam pada 2020. Beliau telah digantung selama dua tahun dan didenda RM5,000.

Semasa rayuan, dapatan DC disahkan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib (DAB) MIA. Kecewa dengan keputusan DAB itu, Ng memfailkan permohonan semakan kehakiman yang kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Dis 2021.

Berhubung aduan Pua, Ng mengambil pendirian bahawa aduan oleh Devasahayam dan Pua adalah sama dan pada 10 Sept 2019, beliau menulis surat kepada DC supaya menolak aduan Pua.

Bagaimanapun DC, melalui surat bertarikh 23 Sept tahun yang sama, menolak permohonan Ng untuk tidak meneruskan prosiding tatatertib berhubung aduan Pua, menyebabkan beliau (Ng) memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan DC.

Pada 11 Mei 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ng untuk membatalkan keputusan DC. DC dan MIA kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)