Mahkamah Rayuan benar permohonan Ku Nan supaya hakim tarik diri

Mahkamah Rayuan benar permohonan Ku Nan supaya hakim tarik diri

PUTRAJAYA,. Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu agar Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan Tengku Adnan untuk mengetepikan keputusan Hakim Mohd Nazlan yang enggan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.
Hakim Yaacob, yang mengetuai panel itu memutuskan rayuan itu mempunyai merit dan mewajarkan campur tangan mahkamah.

Beliau membenarkan rayuan itu agar Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan Tengku Adnan dan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain.
Beliau berkata hakim baharu akan akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan semula kes itu atau meneruskan perbicaraan itu daripada Hakim Mohd Nazlan.

Setakat ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Hakim Yaacob menetapkan 18 Februari untuk sebutan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Ia juga adalah tarikh sepatutnya perbicaraan didengar semula.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 September tahun lalu yang menolak permohonan Tengku Adnan supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini pada 27 Disember 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan didakwa menerima RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries yang dimasukkan ke akaun CIMB miliknya.

Terdahulu, peguam Tengku Adnan Tan Hock Chuan berhujah Hakim Nazlan sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes itu kerana beliau telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes Eng Boon yang membuat pengakuan bersalah dan didenda RM1.5 juta kerana bersubahat dengan perlakuan salah Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya (Eng Boon).

Beliau berkata kedua-dua kes, Tengku Adnan dan Eng Boon telah ditetapkan awal untuk perbicaraan bersama.

“Hakim Mahkamah Tinggi memiliki pengetahuan tentang kes ini dan sudah pasti fakta kes itu memudaratkan anak guam saya dan oleh sebab itu beliau tidak boleh mendengar kes ini,” kata Hock Chuan.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berhujah Hakim Mohd Nazlan tidak seharusnya menarik diri daripada mendengar kes itu kerana tidak wujud tanggapan berat sebelah di pihak hakim.

Beliau berkata elemen pertuduhan yang dihadapi Tengku Adnan harus dibuktikan dan menambah fakta kes yang diakui oleh Eng Boon tidak akan diterima secara automatik sebaliknya harus dibuktikan melalui keterangan saksi.

Julia memberitahu media beliau akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara sama ada mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)