
Mahkamah: Siti Bainun Didapati Kekal Bersalah
KUALA LUMPUR,. Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati kekal bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, dikenali Bella, tiga tahun lalu.
Hakim, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen di sini mendapati wanita itu, bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.
Bagi kesalahan pertama iaitu mengabaikan Bella, dia dihukum penjara 10 tahun sementara kes menganiaya, 12 tahun bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh hukum itu.
Hakim, Izralizam Sanusi turut memerintah tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin termasuk cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.
Dia juga perlu melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat-syarat yang dikenakan.
Siti Bainun telah dibawa ke Penjara Kajang, selepas mahkamah menolak permohonannya, untuk menangguhkan hukuman penjara itu.
–Agensi