Mahkamah tolak rayuan AirAsia berhubung penghakiman terus diperoleh MASSB

Mahkamah tolak rayuan AirAsia berhubung penghakiman terus diperoleh MASSB

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) berhubung pembayaran caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tertunggak.

Keputusan itu diputuskan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk See Mee Chun dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian.

“Kami mendapati tiada merit dalam rayuan AirAsia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus itu,” kata Hakim Azizah yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah.

Berikutan keputusan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan AirAsia dan AirAsia X membayar PSC sebanyak RM40.73 juta dan RM792,381 bagi caj pembayaran lewat (LPC) yang belum dibayar kepada MASSB, anak syarikat milik penuh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dikekalkan.

Mahkamah juga menolak tiga rayuan AirAsia terhadap penolakan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan permohonan syarikat penerbangan tambang rendah itu bagi membatalkan saman yang difailkan MASSB terhadap mereka.

Hakim Azizah mengarahkan AirAsia membayar kos RM10,000 bagi setiap rayuan, keseluruhan berjumlah RM60,000.
Terdapat enam rayuan yang difailkan oleh AirAsia dan AirAsia X, tiga mengenai keputusan Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman terus kepada MASSB dan tiga lagi rayuan adalah mengenai penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan syarikat itu untuk membatalkan tuntutan mahkamah yang difailkan terhadap mereka oleh MASSB.

Tuntutan MASSB terhadap AirAsia dan AirAsia X adalah untuk PSC yang tidak dibayar pada kadar yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di bawah Peraturan-Peraturan Mavcom (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 yang dipinda pada 2017 dan 2018.

Dalam keputusannya, Hakim Azizah berkata satu-satunya pertikaian yang dibangkitkan oleh AirAsia ialah kadar baharu PSC yang dinyatakan dalam peraturan itu adalah kadar siling dan bukannya kadar tetap.

Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pertikaian sebenar AirAsia bukanlah pertikaian antara dua penyedia perkhidmatan penerbangan sebaliknya pertikaian antara AirAsia dan Mavcom kerana Mavcom yang menetapkan kadar PSC berkenaan.

Hakim Azizah berkata MASSB hanya mengutip PSC, sambil menambah bahawa pertikaian sebenar AirAsia adalah bertentangan dengan keputusan Mavcom untuk menyamakan kadar PSC antara KLIA dan KLIA2.
“Oleh itu, AirAsia sepatutnya menangani aduan PSC melalui semakan kehakiman terhadap keputusan suruhanjaya itu (Mavcom) untuk menaikkan kadar tersebut,” katanya.

Hakim Azizah berkata adalah jelas bahawa kadar PSC semasa ditetapkan pada RM67 sambil menambah tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa kadar itu adalah kadar siling seperti yang didakwa oleh AirAsia.

MASSB diwakili peguam Ivan Loo, Shannon Rajan, Eric Gabriel Gomez dan Laarnia Rajandran manakala AirAsia diwakili Steven Thiru.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)