Mahkota Miss Globe 2023 milik ratu cantik Malaysia
MISS Globe Malaysia, Manvin Khera dinobat sebagai juara ratu cantik Miss Globe kali ke-20 mengalahkan 52 delegasi negara dunia lain. Manvin, 22, yang turut dinobatkan Miss Talent dalam pertandingan yang berlangsung di Albania itu mengalahkan wakil dari Sepanyol, Katia Agbodo Rodriguez dan Filipina, Anna Valencia Lakrini.
Manakala, tempat keempat dan kelima masing-masing dimiliki wakil dari Nigeria (Duru Esther Chidera) dan Amerika Syarikat (Kirstin Yvonne Bang).
“Semua orang sangat baik dan saya hilang kata-kata. Saya sangat gembira untuk berada di sini dan saya tidak menjangkakan sama sekali akan memenangi pertandingan ini. “Sudah tentu saya tiada ragu-ragu dan sentiasa yakin dengan diri sendiri sebab saya percaya kekalahan itu tidak akan mematahkan semangat untuk kita terus berusaha dan maju ke hadapan.
“Saya percaya pada diri sendiri, dan berikan yang terbaik. Saya berbangga dapat mewakili negara saya Malaysia dan sekarang akan mewakili Organisasi Miss Globe. Saya akan menggunakan platform ini untuk menyampaikan suara dan cinta saya kepada dunia,” katanya menerusi temu bual bersama wakil media usai kejuaraannya.
Pertandingan ratu cantik Miss Globe perlu melalui beberapa cabaran mini sebelum menempatkan diri di Top 15 dan Top 5. Sejak awal pertandingan lagi, Manvin berjaya memikat hati juri dalam pusingan swimsuit, talent dan head to head challenge.
Pada acara kemuncak malam tadi, Manvin nampak sangat tenang dan berjaya memberikan jawapan terbaik dalam sesi Q&A.
Soalan yang diberikan juri kepada Manvin berbunyi; “Apakah pelajaran dari usia kanak-kanak yang kamu pelajari memberikan impak kepada hidup kamu?” Jawab Manvin; “Setiap orang bertumbuh dan saya belajar daripada kesilapan saya serta kegagalan. Saya percaya kegagalan itu kunci kejayaan.
“Setiap kali kegagalan saya ketika kanak-kanak saya berpesan pada diri saya ‘Manvin kamu perlu bangkit lebih kuat’. Apabila kamu bangkit, kamu akan jadi lebih hebat dan tiada tandingan.”
Sejak tahun 2004, pertandingan ratu cantik Miss Globe telah menobatkan wakil negara yang lantang menyuarakan advokasi terhadap peranan wanita untuk dunia sejagat.
Pusingan akhir Miss Globe 2023 berlangsung di Ramazan Njala Sports Palace di Durres, Albania dan disiarkan secara langsung menerusi YouTube DeliAer Associations.
Jom semak senarai anugerah lain yang dimenangi oleh wakil negara lain.
Juara cabaran Head-to-Head: South Africa
Miss Friendship: Hawaii
Best in National Costume: Taiwan
Miss Bikini: Brazil
Miss Talent: Malaysia
Miss Social Media: Japan
Miss Fashion: Albania
Miss Eleganza: Czech Republic
Miss Photogenic: Laos
Miss People’s Choice: Jamaica
Miss Golden Girl: Belgium
Miss Tourism: Germany
Miss Dreamgirl: North Macedonia
-Gempak