
MAIK peruntukan RM9.3 juta bantu asnaf
KOTA BHARU,. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), memperuntukkan RM9.3 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf bagi mengurangkan beban sepanjang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengagihan zakat kepada golongan itu dilaksanakan Program Prihatin MAIK, bagi fasa ketiga.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukkan itu menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan zakat MAIK untuk program berkenaan berjumlah RM21.9 juta.
Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, penyaluran agihan itu bertujuan menampung keperluan asnaf bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang Ramadan dan menyambut Aidilfitri nanti.
“Bagi fasa ketiga, MAIK membahagikan bantuan kepada dua kategori, iaitu pertama Agihan Zakat MAIK dan kedua Bantuan MAIK Musibah COVID-19.
“Kategori pertama membabitkan perbelanjaan sebanyak RM3.9 juta, iaitu Agihan Zakat MAIK yang diawalkan membabitkan tiga program iaitu agihan zakat bulanan kepada asnaf fakir dan miskin; elaun sara hidup pelajar tajaan MAIK luar dan dalam negara; serta bayaran penuh elaun sukarelawan dan imam rawatib masjid bandar dan jajahan
“Kategori kedua, menerusi Bantuan MAIK COVID-19 membabitkan RM5.4 juta yang diperuntukkan kepada enam kumpulan utama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak RM1.8 juta dikhaskan untuk bantuan kepada asnaf yang terjejas akibat COVID-19.
Ia akan diagihkan melalui 603 masjid bandar, masjid jajahan dan masjid mukim di seluruh Kelantan.
“Bagi menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sebanyak RM2 juta akan diagihkan kepada 10,000 orang asnaf menerusi Bantuan Khas (Muasaadah Ramadan),” katanya.
MAIK juga mengagihkan sumbangan khas sebanyak RM700,000 kepada 1,965 pegawai Masjid Mukim (imam tua, imam muda, bilal dan siak) dan RM782,000 diberikan kepada 4,100 ketua isi rumah Orang Asli di negeri ini.
“Sumbangan Aidilfitri kepada 420 peserta Kelas Fardu Ain Mingguan Saudara Baru MAIK membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM105,000.
“MAIK turut menyumbang kepada 107 penjaga anak yatim (Darul Aitam MAIK) berjumlah RM54,000,” katanya.
–BH