MAIWP santuni 41 gelandangan di Pusat Transit KL

MAIWP santuni 41 gelandangan di Pusat Transit KL

KUALA LUMPUR,. Kesejahteraan dan kebajikan penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, di sini terus diberi perhatian walaupun semasa mengharungi situasi COVID-19 pada Ramadan ini menerusi bantuan dihulurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kelmarin.

Pengerusinya Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, menerusi Program Ramadan MAIWP Bersama Komuniti anjurannya, seramai 41 gelandangan di pusat transit tersebut menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 serta barangan keperluan harian.

“Sehingga kini MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM350,000 kepada pusat transit gelandangan di Jalan Pahang ini bagi tujuan pelaksanaan program dan operasi,” katanya kepada pemberita pada program tersebut.

Mohd Daud berkata, beberapa program lain telah diaturkan pada Ramadan ini bagi memastikan setiap lapisan masyarakat disantuni dan MAIWP akan terus memainkan peranan mengagihkan bantuan zakat disumbangkan umat Islam kepada golongan asnaf.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk mengupayakan dan membawa perubahan positif kepada golongan tersebut.

“MAIWP sendiri dalam skala kecil turut menyediakan Rumah Transit Gelandangan di Taman Pelangi, Kuala Lumpur yang menjadi tempat penginapan sementara untuk gelandangan berkeluarga,” katanya.

Program yang disusuli majlis berbuka puasa bersama gelandangan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi MAIWP Mohd Nizam Yahya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan MAIWP Mahadi Sukarno dan wakil dari QSR Brands.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)