
Majalah TIME Namakan Michelle Yeoh Sebagai ‘Icon Of The Year’
Kejayaan luar biasa yang diraih oleh pelakon yang berasal dari Ipoh Perak ini telah melayakkan Michelle Yeoh digelar sebagai ‘Icon Of The Year’ untuk tahun 2022.
Pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh telah dinamakan sebagai ‘Icon Of The Year’ oleh majalah terkenal, TIME untuk tahun 2022. Michelle yang berasal dari Ipoh Perak menjadi bualan ramai pada tahun 2022 selepas muncul dengan filem Everything Everywhere All At Once yang mendapat pujian ramai.
Bahkan, ramai menjangkakan beliau bakal meraih trofi Oscar yang pertamanya menerusi lakonan hebat dalam filem itu.
Menerusi wawancara Michelle bersama majalah TIME, pencalonan dan kemenangan di Anugerah Academy merupakan sesuatu yang sangat bermakna bukan sahaja untuk dirinya malah untuk seluruh komuniti Asia kerana belum pernah wanita Asia diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy.
“Saya pernah berfikir tentang perkara ini. Saya rasa seluruh komuniti Asia juga pernah terfikir tentang perkara ini. Mereka datang kepada saya dan berkata. Kamu lakukan ini untuk kami” katanya.
Tahun 2022 juga menyaksikan Michelle terlibat dalam filem-filem mega seperti The School Of Good And Evil, Minions :The Rise Of Gru, Paws of Fury : the Legend Of Hank dan yang paling terbaru ialah Avatar : The Way Of Water.
Awal tahun ini, majalah TIME turut menyenaraikan Michelle sebagai salah seorang dari 100 individu paling berpengaruh di dunia untuk tahun 2022. Michelle merupakan bekas ratu cantik Malaysia pada tahun 1983. Selepas bergelar ratu cantik, beliau telah berhijrah ke Hong Kong untuk memulakan karier filem dan berjaya mencipta nama di sana.
Namun populariti Michelle mula memuncak selepas dia dipilih untuk menjadi ‘Gadis Bond’ dalam filem Tomorrow Never Dies disamping Pierce Brosnan pada tahun 1997. Antara filem-filem lakonan Michelle yang mendapat perhatian ramai termasuklah Crouching Tiger Hidden Dragon, Memoirs Of Geisha, The Lady dan Crazy Rich Asians.
Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Michelle Yeoh kerana terus menerus dilihat mengharumkan nama Malaysia serta seluruh komuniti Asia. Semoga anugerah Oscar menjadi milik beliau.
– Getaran, 7 Disember 2022