Majlis graduasi pelajar: JPN Negeri keluar surat arahan panduan penganjuran

Majlis graduasi pelajar: JPN Negeri keluar surat arahan panduan penganjuran

ALOR GAJAH,. Jabatan Pendidikan negeri Melaka akan mengeluarkan satu surat arahan mengenai panduan bagi penganjuran majlis graduasi pelajar di peringkat sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata ia adalah sebagai langkah bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan penganjuran majlis tersebut.

“Saya akui majlis seperti ini (yang dianjurkan) di hotel seolah-olah menjadi trend pada masa kini terutama di sekolah rendah dan terdapat maklum balas daripada ibu bapa menyatakan ia agak membebankan.

“Kami tidak menghalang namun bagi pihak saya, perkara ini tidak digalakkan kerana majlis tersebut boleh saja dilakukan dalam keadaan sederhana,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni pelajar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rungutan ibu bapa mengenai penganjuran majlis graduasi murid oleh pihak sekolah di hotel yang dianggap membebankan.

Terdahulu seramai 12,900 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 103 pusat peperiksaan di seluruh Melaka.

Turut menduduki SPM adalah 65 calon berkeperluan khas seperti masalah penglihatan, pendengaran, fizikal dan autisme manakala empat calon menduduki di hospital kerana masalah kesihatan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)