Majoriti rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi PM Muhyiddin – Kajian

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Kajian dijalankan Merdeka Center baru-baru ini mendapati 69% pengundi Malaysia berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Menurut kajian itu, sembilan daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak memuji Muhyiddin manakala 65% orang India dan 33% orang Cina turut berpuas hati dengan Muhyiddin.

“Penarafan baik diberikan kepada perdana menteri terus berada dalam lingkungan selesa dan positif dengan mengambil kira beliau hanya memegang jawatan itu sejak Mac 2020,” menurut kenyataan dikeluarkan Merdeka Center berhubung hasil kajian itu, di sini hari ini.

Kajian bagi mendapatkan persepsi pengundi terhadap ekonomi, pemimpin dan isu-isu semasa itu dijalankan dari 15 Julai hingga 10 Ogos dan melibatkan 3,415 pengundi berdaftar dengan komposisi etnik masing-masing itu mencerminkan profil data pemilih negara yang ditemu bual menerusi talian tetap dan telefon bimbit.

Menurut Merdeka Center, kajian itu juga mendapati wujud kecenderungan serupa dalam penilaian awam terhadap Kerajaan Persekutuan dengan 58% pengundi gembira dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) manakala 28% tidak berpuas hati dan marah.

“Menariknya, jurang pendapatan merupakan satu daripada indikator dalam membezakan siapa yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan prestasi kerajaan.

“Kira-kira tiga suku daripada responden yang pendapatan isi rumah kurang RM2,000 sebulan memberikan pandangan positif terhadap Kerajaan Persekutuan tetapi hanya 40% yang positif dalam kalangan mereka yang pendapatan isi rumah lebih tinggi daripada RM7,000 sebulan,” menurutnya.

Sementara itu, kajian itu turut mendapati 93% responden berpuas hati dengan cara kerajaan mengendalikan pandemik COVID-19.

Lebih daripada separuh responden turut bersetuju bahawa kerajaan telah membantu kalangan mereka yang memerlukan (68%) dan dalam menguruskan ekonomi (61%).

Pada masa yang sama sebanyak 51% responden berpendapat negara menuju hala tuju yang betul, berdasarkan jawapan mereka bagi pentadbiran baik (26%) dan kepimpinan (21%).

Kerajaan PN juga memperoleh persepsi positif tertinggi daripada pengundi dalam kalangan parti dan gabungan politik kontemporari di Malaysia, dengan 51% responden melihat gabungan itu sebagai positif dan hanya 27% berpandangan sebaliknya.

“Bagaimanapun, pandangan positif terhadap Muafakat Nasional (MN) hanya 37%, dan angka itu rendah sedikit bagi komponen MN dengan PAS (39%) dan Barisan Nasional (40%).

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai MN baru-baru ini, hanya mendapat 28% penarafan positif dan 39% negatif. Pakatan Harapan memperoleh penarafan negatif tertinggi (52%), dan hanya 25% gembira dengan gabungan dibentuk PKR, DAP, dan Amanah,” katanya.

Kajian itu juga mendapati 61% responden bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala hanya 18% menjawab sebaliknya.

Pada 28 Julai, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukannya melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )