Majuperak dan Petrolife memeterai usaha sama kogenerasi

Majuperak dan Petrolife memeterai usaha sama kogenerasi

KUALA LUMPUR,. Majuperak Holdings Bhd (MHB), sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah menubuhkan usaha sama (JV) dengan Petrolife Aero Sdn Bhd untuk membekalkan gas asli dan gas asli cecair (LNG) kepada kawasan komersial, pejabat termasuk perindustrian di negeri ini.

Di bawah perjanjian usaha sama yang dimeterai hari ini, subsidiari MHB, Majuperak Energy Resources Sdn Bhd dan Petrolife, pengimport gas asli dan LNG, masing-masing akan memegang 51 peratus dan 49 peratus kepentingan ekuiti dalam sebuah syarikat tujuan Khas (SPV) yang bakal ditubuhkan bagi tujuan tersebut.

“Ia melibatkan pembangunan loji kogenerasi, yang menggabungkan loji janakuasa gas konvensional serta loji pemprosesan stim untuk menyediakan tenaga elektrik dan haba daripada satu loji tenaga tunggal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MHB Nizran Noordin dalam satu kenyataan.

Katanya, loji itu akan menjimatkan kos pelanggan dan menyediakan insentif bagi syarikat untuk membina kemudahan di Perak.

“Dengan gabungan kepakaran kami dalam sektor tenaga, Petrolife membawa pengalaman yang luas dalam mengendalikan beberapa projek huluan dengan syarikat minyak multinasional, syarikat tempatan dan agensi kerajaan,” katanya.

MHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, berkata SPV itu dijangka akan ditubuhkan dalam tempoh 150 hari daripada bermulanya perjanjian berkenaan, dengan apa-apa lanjutan perlu dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak.

Katanya, kedua-dua pihak menyasarkan sekurang-kurangnya penjanaan 10 megawatt (MW) untuk tahun pertama, 20 MW pada tahun kedua dan 50 MW bagi tahun ketiga untuk projek tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )