Malaysia Airlines, Japan Airlines mulakan perkongsian perniagaan bersama

Malaysia Airlines, Japan Airlines mulakan perkongsian perniagaan bersama

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Malaysia Airlines Bhd dan Japan Airlines (JAL) bersedia untuk melancarkan perkongsian perniagaan bersama pada 25 Julai, 2020 iaitu dua syarikat penerbangan akan bekerjasama secara komersial dalam penerbangan antara kedua-dua negara.

Melalui perkongsian itu, MAB dan JAL akan menghadapi cabaran baharu untuk meningkatkan lagi kemudahan antara Jepun dan Malaysia serta membolehkan pelanggan mendapat manfaat daripada lebih banyak pilihan penerbangan.

“Dengan MAB menyambung semula penerbangan ke Jepun bermula Julai, kedua-dua syarikat penerbangan akan menawarkan empat perkhidmatan mingguan antara Kuala Lumpur-Tokyo Narita pada Julai dan Ogos,” menurut kedua-dua syarikat penerbangan itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Inisiatif itu akan membolehkan MAB dan JAL untuk meningkatkan keupayaan mereka dan memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group Kapten Izham Ismail berkata MAB gembira apabila perkongsian itu akhirnya dapat dilaksanakan selepas beberapa bulan tertangguh berikutan sekatan perjalanan antara kedua-dua negara.

“Kami berharap perbincangan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Jepun akan mewujudkan ‘travel bubble’ antara kedua-dua negara, yang akan mengurangkan sekatan untuk perjalanan rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Presiden JAL Yuji Akasaka berkata hubungan yang dipertingkatkan itu akan membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan memastikan standard keselamatan dan kebersihan yang tertinggi untuk pelanggan.

“Dari aspek hospitaliti, kami yakin pelanggan akan menikmati pengalaman dalam penerbangan serta jadual penerbangan yang mudah dan perkhidmatan yang lancar,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )