Malaysia Airlines – Revima bekerjasama sediakan perkhidmatan gear pendaratan

Malaysia Airlines – Revima bekerjasama sediakan perkhidmatan gear pendaratan

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines Bhd bekerjasama dengan Revima untuk menyediakan perkhidmatan pusat sehenti untuk menggantikan gear pendaratan dan penyelesaian baik pulih kepada pelanggan pihak ketiga.

Revima adalah penyedia penyelesaian penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang berpangkalan di Perancis terutamanya dalam unit kuasa tambahan (APU) dan penyelesaian gear pendaratan.

Dalam kenyataan bersama hari ini,Malaysia Airlines berkata kerjasama itu akan membolehkan syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan penggantian gear pendaratan kepada pelanggan Revima di hangarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya Revima akan menyokong kerja-kerja baik pulih gear pendaratan untuk para pelanggan Malaysia Airlines di mana-mana fasilitinya dan menyediakan sokongan teknikal dan latihan untuk penggantian gear pendaratan termasuk berkongsi pengetahuan mengenai amalan terbaik dan penanda aras kemudahan bagi syarikat penerbangan itu.

“Kedua-dua pihak juga akan mempunyai peranan dalam pemasaran dan mempromosi perkhidmatan bersama itu kepada pengendali Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) 3 di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurutnya, di bawah kerjasama itu, Malaysia Airlines berharap untuk mengembangkan bahagian pasarannya dalam pasaran MRO di rantauAsia Pasifik selain mempromosi perkhidmatannya kepada operator.

“Malah, Revima dapat memanfaatkan pengalaman Malaysia Airlines dalam menyenggara kerangka pesawat udara selain pengalaman mengganti gear pendaratan untuk pesawat berbadan lebar dan berbadan sempit,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata kerjasama itu akan meningkatkan keupayaan syarikat penerbangan tersebut dan memperkukuh kelebihan daya saingnya sebagai penyedia MRO di rantau ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Revima Group, Olivier Legrand berkata usahasama itu akan membolehkan syarikat berkenaan memanfaatkan hangar Malaysia Airlines ketika ruang hangar melakukan pemindahan gear pendaratan dan pemasangan menjadi sumber yang berkurangan dalam keadaan pertumbuhan yang tinggi bagi pengangkutan udara.

“Kami berharap dapat menyediakan perkhidmatan tambahan ini kepada para pelanggan kami dan kerjasama kami dengan Malaysia Airlines,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )