Malaysia Airlines tambah penerbangan semasa Tahun Baharu Cina

Malaysia Airlines tambah penerbangan semasa Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines menambah jadual penerbangannya dengan penambahan 124 penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih berikutan permintaan perjalanan yang meningkat semasa Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah akan datang bermula Februari hingga Mac 2024.

Syarikat penerbangan nasional itu akan turut menambah sebanyak 12 pesawat sepanjang Tahun Baharu Cina untuk penumpang ke dan dari Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang menerusi pesawat Airbus A330-200 dan A330-300 miliknya, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, Dersenish Aresandiran berkata penerbangan berjadual strategik tambahan ketika Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah akan datang itu menawarkan pilihan dan kemudahan yang dipertingkat, mencerminkan dedikasi Malaysia Airlines untuk memastikan setiap perjalanan lancar dan menyeronokkan.

“Kami memperkenalkan penerbangan tambahan ini sebagai bukti komitmen kami kepada negara dan rakyat, memastikan mereka berpeluang untuk pulang semasa musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, syarikat sekutu Malaysia Airlines, Firefly baru-baru ini mengendalikan penerbangan antarabangsa pertama ke Tawau, Sabah. Penerbangan carter itu berlepas dari Nanjing, China dengan membawa 157 penumpang dan tiba di Tawau pada 23 Jan 2024.

“Firefly akan mengendalikan penerbangan carter tiga kali seminggu, yang dijadualkan tiba di Tawau setiap Selasa, Khamis dan Sabtu dengan kapasiti 540 tempat duduk seminggu sehingga akhir Mac 2024,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)