Malaysia Airports tawar perkhidmatan saringan keselamatan kesihatan swasta

Malaysia Airports tawar perkhidmatan saringan keselamatan kesihatan swasta

KUALA LUMPUR,. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berusaha untuk meningkatkan perkhidmatannya dengan menawarkan kemudahan saringan keselamatan kesihatan swasta kepada penumpang agar mereka dapat menikmati proses pelepasan dengan lebih cepat, semasa mendarat di lapangan terbang itu.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata langkah itu diharapkan dapat memudahkan penumpang KLIA kerana pelancong dapat menjalani ujian dan menunggu keputusan ujian saringan dalam persekitaran yang selesa.

“Berdasarkan apa yang kita lihat di lapangan terbang kita dan lapangan terbang lain di seluruh dunia, langkah-langkah keselamatan tambahan boleh menyebabkan kejadian beratur panjang dan tempoh menunggu yang lama.

“Ini akan meninggalkan kesan buruk kepada penumpang dan ia perkara yang kami ingin elakkanya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata Malaysia Airports akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan perkhidmatan saringan berkenaan dan telah mendapat persetujuan yang diperlukan daripada pihak berwajib berhubung perkara itu.

Dr Zambry berkata semua prosedur bagi perkhidmatan itu akan mendapat tunjuk ajar daripada Kementerian Kesihatan bagi memastikan aspek keselamatan tetap diutamakan.

Mengenai pas perjalanan yang diperkenalkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), beliau berkata badan itu akan mengurus dan mengesahkan maklumat ujian atau vaksin antara kerajaan dan kerajaan, syarikat penerbangan, makmal dan pelancong.

“Ketika kita berlumba-lumba untuk mengembalikan keyakinan terhadap keselamatan perjalanan udara, kerjasama antara negara-negara seperti standard laporan kesihatan yang disahkan secara global juga akan memberikan impak positif ke arah pemulihan industri penerbangan.

“Bulan lepas, syarikat penerbangan kebangsaan negara kita, Malaysia Airlines telah mewujudkan kemudahan kad kesihatan digital ini dalam aplikasi mereka. Syarikat penerbangan lain yang mengambil langkah serupa ialah Singapore Airlines dan Qatar Airways.

“Ciri-ciri penting daripada pas perjalanan IATA ini ialah pelancong dapat mengawal maklumat peribadi mereka kerana menyimpan data tersulit dalam peranti mudah alih mereka,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)