Malaysia akan hulur bantuan bersesuaian kepada Lubnan – Hishammuddin

Malaysia akan hulur bantuan bersesuaian kepada Lubnan – Hishammuddin

PUTRAJAYA, 7 Ogos — Malaysia akan menghulurkan bantuan yang bersesuaian kepada Lubnan susulan tragedi letupan di Beirut, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju agar Malaysia menyalurkan bantuan kepada Lubnan dan menyerahkan kepada Wisma Putra untuk memikirkan sumbangan yang terbaik.

Hishammuddin berkata Wisma Putra telah berhubung dengan perwakilan Malaysia di negara berkenaan serta wakil kepimpinan Lubnan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai situasi di tempat kejadian.

“Ini sedang diuruskan dan saya diminta menyampaikan laporan malam ini kepada perdana menteri berhubung bentuk sumbangan yang boleh kita salurkan kepada Lubnan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari ASEAN ke-53 di sini hari ini.

Beliau berkata Wisma Putra juga akan mendapatkan pandangan daripada anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) yang bertugas di sana berhubung bentuk bantuan yang perlu disalurkan.

Agensi Anadolu melaporkan tragedi letupan yang dipercayai berpunca daripada amonium nitrat yang disimpan di gudang di pelabuhan Beirut itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 135 orang terkorban, 5,000 cedera manakala puluhan lagi masih hilang.

Ditanya mengenai lambakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Hishammuddin berkata beliau ada membangkitkan perkara itu dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Michael R. Pompeo baru-baru ini.

“Saya meminta US membantu Malaysia dengan duduk bersama-sama UNHCR untuk melihat kepada isu pelarian Rohingya dan kedudukan di negeri Rakhine,” katanya.

Beliau berkata Malaysia bersetuju menerima pelarian Rohingya sebelum ini dengan syarat mereka akan dihantar ke negara ketiga.

“Tetapi itu tidak berlaku dan lambakan mereka yang berada di Malaysia sekarang jumlahnya begitu besar dan tidak adil kalau ada pihak tertentu yang masih lagi mendesak Malaysia menerima lebih ramai pelarian Rohingya dari Rakhine atau Bangladesh,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)