Malaysia akan rasai kesan daripada tarif solar baharu AS

Malaysia akan rasai kesan daripada tarif solar baharu AS

KUALA LUMPUR,. Malaysia bersama beberapa negara Asia Tenggara, dijangka akan terkesan dengan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas import sel solar dan panel.

Menurut laporan Reuters pada Isnin, pegawai perdagangan AS memuktamadkan kadar tarif yang tinggi ke atas kebanyakan sel solar dari Asia Tenggara – satu langkah penting ke arah menyelesaikan kes perdagangan yang telah berlarutan selama setahun, menyaksikan pengeluar Amerika menuduh syarikat China membanjiri pasaran dengan produk murah secara tidak adil.

Kes perdagangan itu dimulakan pada 2024 oleh Hanwha Qcells Korea Selatan, First Solar Inc yang berpangkalan di Arizona, dan beberapa pengeluar kecil yang ingin melindungi pelaburan berbilion dolar dalam industri pembuatan solar AS, menurut Reuters.

Reuters juga melaporkan bahawa kumpulan pempetisyen, American Alliance for Solar Manufacturing Trade Committee, menuduh pengeluar panel solar China yang berskala besar yang mengendalikan kilang di Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam menghantar panel pada harga di bawah kos pengeluaran serta menerima subsidi tidak adil yang menjejaskan daya saing produk AS.

Tarif yang diumumkan pada Isnin itu berbeza mengikut syarikat dan negara, tetapi secara amnya lebih tinggi daripada duti sementara yang diumumkan lewat tahun lalu, tambah Reuters.

Gabungan duti antilambakan dan duti balas ke atas produk Jinko Solar dari Malaysia adalah antara yang terendah, pada kadar 41.56 peratus, manakala produk keluaran Trina Solar dari operasinya di Thailand dikenakan tarif sebanyak 375.19 peratus, menurut laporan itu.

Jabatan Perdagangan AS belum lagi menerbitkan pecahan terperinci kadar tarif akhir.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )