
Malaysia Aviation Group umum peletakan jawatan Wan Zulkiflee
KUALA LUMPUR,. Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan Pengerusi Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin telah meletak jawatan berkuat kuasa hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, organisasi penerbangan global itu berkata Wan Zulkiflee telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan MAG pada Julai 2020 dan menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan daripada lembaga pengarah pada Jun 2024 selepas berkhidmat selama empat tahun.
“Lembaga pengarah dan pengurusan MAG ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih yang mendalam di atas kepimpinan cemerlang dan sumbangan yang tidak ternilai daripada Wan Zulkiflee kepada syarikat penerbangan ini.
“Pengalaman luas Wan Zulkiflee telah membimbing MAG melalui masa-masa sukar semasa COVID-19. Beliau memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan menyelesaikan penyusunan semula kewangan kumpulan dan mengurangkan liabiliti kumpulan sebanyak lebih RM15 bilion,”kata kenyataan itu.
Kepimpinan beliau adalah penting dalam membimbing syarikat untuk mencatat pendapatan bersih selepas cukai (NIAT) yang pertama pada 2023 sejak penubuhan kumpulan itu pada 2015, katanya.
— BERNAMA