Malaysia B-23 menang perlawanan pertama menentang Laos

KUALA LUMPUR,. Malaysia memulakan cabaran pada Kelayakan Piala Asia 2022 Bawah-23 (B-23) dengan langkah kanan apabila menang nipis 1-0 ketika bertemu Laos dalam perlawanan Kumpulan J di Stadium Mongolia Football Federation (MFF) di Ulaanbaatar, semalam.

Walaupun mengawal perlawanan pada separuh masa pertama di padang tiruan dengan keadaan suhu jatuh di bawah 10 darjah celsius, Harimau Muda hanya mampu untuk mencipta beberapa peluang terhadap pasukan Laos yang bermain dengan aggresif.

Peluang terbaik terhidang pada minit ke-36 menerusi cubaan jarak jauh Luqman Hakim Shamsuddin, yang berjaya di tumbuk penjaga gol Solasak Thilavong, namun muntahan bola itu gagal digunakan sepenuhnya Muhammad Azam Azmi.

Pada separuh masa kedua, sepakan percuma pada minit ke-50 yang diambil Nik Akif Syahiran hanya melepasi palang gol, manakala Laos berjaya mengucarkacirkan kawasan hadapan gol Malaysia, namun berjaya dikeluarkan pertahanan Malaysia.

Akhirnya keputusan Brad Maloney untuk membawa masuk tiga pemain simpanan pada minit ke-66, telah membuahkan hasil dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Pemain gantian Quentin Cheng melakukan sepakan lintang ke arah pintu gol, yang kemudiannya dengan mudah berjaya ditolak masuk Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68, untuk gol kemenangan Malaysia.

Anak buah Brad, mendapat satu lagi peluang untuk melebarkan gol pada minit ke-82, namun T. Saravanan yang menerima bola hantaran lintang tinggi, gagal menanduk bola masuk.

Terdahulu pada perlawanan pembukaan Kumpulan J, pasukan tuan rumah Mongolia seri 1-1 ketika menentang Thailand.

Malaysia selepas ini akan bertemu Mongolia pada 11 pagi Khamis (28 Okt), sebelum menutup perlawanan Kumpulan J mereka menentang Thailand pada 11 pagi 31 Okt.

Kemenangan Malaysia tadi, membolehkan negara mendahului kumpulan dengan tiga mata, diikuti Mongolia dan Thailand dengan masing-masing satu mata, dan Laos di kedudukan tercorot.

Sejumlah 16 pasukan akan layak untuk peringkat akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang dijadualkan berlangsung 1-19 Jun 2022.

Muhammad Nur Azfar, 21, yang menjadi wira negara dengan menjaringkan gol kemenangan Malaysia pada penampilan pertamanya itu pada sidang media selepas perlawanan berkata beliau amat berterima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih dan rakyat Malaysia, atas sokongan mereka.
“Saya rasa amat gembira kerana dapat mewakili negara buat pertama kali dan menjaringkan gol pertama untuk pasukan hari ini,” kata pemain Terengganu FC II, yang boleh bermain di posisi sayap dan juga pertahanan.

Rakaman video sidang media itu diterima daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu Brad berkata anak buahnya bernasib baik kerana mendapat tiga mata, selepas pasukan muda Laos memberikan tentangan sengit.

“Kami kekal bermain dengan cara kami dan tentunya cara bermain tidak banyak berubah di sepanjang perlawanan. Tetapi pada akhir separuh masa kedua, kami melakukan beberapa pertukaran dan sumbangan mereka (pemain simpanan) amat baik dalam membantu mendapatkan gol,” katanya.

Jurulatih dari Australia itu berkata, pertemuan menentang Mongolia dan Thailand tidak akan bertambah mudah kerana kedua-dua pasukan itu amat bagus dan ia akan menjadi sengit dan fizikal,” dan menambah keadaan padang yang pantas juga memberikan cabaran kepada perlawanan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )