Malaysia Bakal Kehabisan Stok Ayam Mentah

Malaysia Bakal Kehabisan Stok Ayam Mentah

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal kehabisan bekalan ayam mentah sekiranya isu kenaikan harga bahan mentah itu masih gagal ditangani kerajaan. Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, kerajaan perlu merumuskan mekanisme terbaik pada kadar segera bagi memastikan kenaikan harga itu dapat diselesaikan secara holistik.

Menurut beliau, semua pihak berwajib perlu duduk semeja dalam mencari penyelesaian sebelum situasi menjadi lebih parah.

Jelasnya, perbezaan harga ayam ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan peniaga.

“Bayangkan MAFI menetapkan harga ayam sebanyak RM5.60 bagi ayam ladang tetapi KPDNHEP pula tetapkan RM5.90, perkara ini sebenarnya memberi kesan kepada semua pihak, termasuk peniaga dan penternak.

“Akibatnya peniaga ayam dilanda tekanan hebat apabila terpaksa menanggung peningkatan harga hingga ke tahap tidak masuk akal,” katanya menerusi kenyataan kepada Getaran di sini hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan peningkatan harga ayam sebanyak RM1.60 sekilogram kepada RM10.50 di sesetengah kawasan, sekali gus melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90.

Keluh Jeffrey, pihaknya ketika ini buntu memikirkan cara untuk mendapatkan bekalan berikutan stok sedia ada tidak mampu memenuhi permintaan pengguna. “Kita juga bimbang ia akan membawa negara ke arah krisis rantaian makanan yang serius berikutan tiada bekalan utama.

“Ini bukan lagi soal harga ayam yang mahal sahaja tetapi kita semua pula bakal berdepan ketiadaan bekalan ayam. “Semua ini berikutan kesan daripada peperangan di Ukraine kerana negara tersebut antara yang aktif mengeksport ayam, selain Belarus dan Russia,” katanya.

Jeffrey berkata, isu ini turut dialami oleh Singapura yang bergantung kepada bekalan ayam daripada tiga negara berkenaan. Menurut beliau, situasi yang dialami bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga semata-mata tetapi turut merugikan perniagaan sehingga terpaksa gulung tikar.

“Setakat ini, sebanyak 48 ladang daging ayam di seluruh negara terpaksa gulung tikar setelah tidak mampu menanggung kerugian. “Situasi itu juga turut menjejaskan ladang ayam telur apabila 11 ladang di Pulau Pinang terpaksa ditutup berikutan ketiadaan bekalan,” katanya.

Ukraine, Belarus dan Russia merupakan antara negara yang aktif mengeksport bekalan ayam termasuk ke Malaysia dan Singapura.

– Getaran, 10 April 2022.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)