
Malaysia bakal lahir pelari pecut kelas dunia dalam lima tahun lagi?
KUALA LUMPUR,. Mampukah Malaysia melahirkan pelari pecut bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun lagi? Mungkin bukan dalam kelas bekas jaguh pecut dunia kelahiran Jamaica, Usain Bolt tetapi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) percaya atlet pecut negara yang boleh berlari di bawah 10 saat mampu dihasilkan.
Justeru, KPT mencetuskan revolusi mewujudkan Projek Larian 100 Meter (m) Bawah 10 Saat (B10) yang dilihat bakal memberi sinar baharu dalam arena olahraga negara melahirkan jaguh terbilang dunia bagi acara riben biru itu.
Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Projek B10 diwujudkan selepas menyedari pelari Malaysia agak ketinggalan untuk bersaing dengan jaguh berkelas dunia di persada antarabangsa.
“Berdasarkan catatan terbaik 10.18 saat (s) dilakar oleh Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016, Malaysia masih agak ketinggalan untuk mencabar atlet hebat walau hanya di Asia Tenggara manakala catatan terbaik Asia Tenggara iaitu 10.03s pula dicipta atlet sensasi Indonesia Lalu Muhammad Zohri yang telah layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.
“Walaupun ini suatu cabaran yang sukar, namun saya percaya kita mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari dengan keupayaan luar biasa melalui bimbingan terbaik serta kepercayaan tinggi yang diberikan oleh KPT. Kalau boleh kita mahu jadi negara yang pertama di Asia Tenggara berjaya memecahkan tembok halangan ini,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Projek B10 yang diadakan secara maya hari ini.
Noraini menarik perhatian Projek B10 adalah sangat istimewa selain menjadi projek seumpamanya di Malaysia yang menumpukan kepada satu disiplin sukan sahaja selain berharap perancangan teliti serta kejayaan program itu mampu menjadikan Malaysia sebagai hab melahirkan jaguh pecut di Asia Tenggara.
Beliau juga memaklumkan projek itu mendapat sentuhan pakar tempatan melibatkan bekas jaguh pecut negara dan jurulatih kebangsaan itu manakala Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih menjadi penyeleras projek berkenaan yang dijangka bermula Februari depan.
Antara individu yang diumum menyertai barisan kejurulatihan adalah bekas jaguh pecut negara iaitu Nazmizan Muhammad, Azmi Ibrahim dan Watson Nyambek selain turut diperkuatkan dengan kehadiran Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil serta Jurulatih Pecut, Mohd Poad Md Kassim.
Sementara itu, Noraini bersyukur hasrat murni KPT itu mendapat sokongan sepenuhnya daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Kesatuan Olahraga Malaysia serta mengalu-alukan kerjasama daripada badan korporat untuk menjadi rakan sukan Projek B10.
Bagi Watson, beliau percaya Malaysia mampu melahirkan pelari pecut yang boleh berlari di bawah 10s sekiranya mendapat bimbingan baik dan tumpuan khas manakala Mohd Manshahar berpendapat tidak mustahil atlet negara mampu menggegar trek satu hari nanti berdasarkan kemampuan jurulatih sedia ada, selain diperkukuhkan dengan tunjuk ajar bekas jaguh pecut negara dalam Projek B10.
Selain menetapkan hanya 10 orang calon berusia dalam lingkungan 18 hingga 22 tahun, mereka juga harus memenuhi kriteria ditetapkan iaitu mampu berlari di bawah empat saat pada jarak 30m, berlari kurang dari 6.5s bagi jarak 60m, berupaya melakukan lompatan menegak berdiri lebih dari 55cm selain mempunyai ketinggian fizikal lebih 1.78cm.
Majlis turut mengumumkan atlet berpotensi yang merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi untuk tersenarai dalam Projek B10 iaitu Jonathan Nyepa yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.28s diikuti Badrul Hisyam Abdul Manap (10.29s), Muhammad Aqil Yasmin (10.39s), Muhammad Zulfikar Ismail (10.43s), Muhammad Aiedel Saadon (10.58s), Muhammad Solihin Jamali (10.62s) dan Muhammad Nazrul Naim Azman (10.72s).
– BERNAMA