Malaysia benam Sri Lanka 4-0

Malaysia benam Sri Lanka 4-0

PETALING JAYA,. Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan berada di landasan tepat menjelang kelayakan Kejuaraan Bawah-19 Tahun (B-19) AFC 2020 selepas menewaskan Sri Lanka 4-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 2, di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, hari ini.

Pada aksi tersebut, skuad bimbingan ketua jurulatih sementara Brad Maloney itu mendahului seawal minit kedua hasil jaringan Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid sebelum perlawanan dihentikan selama 30 minit akibat faktor cuaca.

Sri Lanka mempamerkan disiplin bertahan yang tinggi sebaik permainan bersambung yang menyaksikan pemain negara dipaksa bekerja keras sebelum Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-29.

Empat minit berselang, Malaysia yang menjalani sesi latihan pusat selama dua minggu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan ini terus selesa mendahului 3-0 selepas Muhammad Muslihuddin meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu.

Muhammad Faris Kamardin melengkapkan kemenangan 4-0 Malaysia menerusi gol pada minit ke-69 sekali gus memberi pasukan kemenangan kedua dalam persiapan menghadapi pusingan kelayakan yang berlangsung di Kemboja bermula 2 Nov depan.

Malaysia yang muncul Naib Juara Kejohanan B-18 AFF 2019 sebelum ini mencatat kemenangan 1-0 sebelum tewas 1-3 berdepan skuad B-18 UAE dalam dua siri persahabatan di UAE.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Maloney gembira dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya terutamanya apabila mereka bekerja keras untuk menunjukkan hasil daripada sesi latihan mereka.

“Pemain benar-benar cuba mengamalkan apa yang kami buat dalam latihan, saya nampak banyak tanda itu. Banyak perkara yang anda boleh selalu tingkatkan, saya tidak melihat kepada apa-apa yang spesifik buat masa ini. Kami akan melihat bagaimana permainan seterusnya berlangsung,” katanya.

Skuad negara akan berdepan Taiwan pada satu lagi aksi persahabatan di venue sama, esok.

Malaysia yang diundi bersama Thailand, Kemboja, Brunei dan Kepulauan Mariana Utara dalam saingan Kumpulan G dijangka berlepas Selasa depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )