Malaysia bersedia menggunakan 5G – Pakar teknologi
PUTRAJAYA,. Malaysia bersedia untuk menggunakan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) dan tahap kepelbagaian kes penggunaan merupakan satu daripada kekuatannya, kata pakar teknologi.
Pengarah Technology Research Project Corporate (TRPC), pemikir berasaskan telekomunikasi, Dr Peter Lovelock berkata Malaysia perlu mempercepat kejayaan kes penggunaan awal untuk berada di barisan hadapan berikutan negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang semakin menghampiri.
“5G benar-benar bermaksud ketersambungan yang sentiasa ada, akses yang sentiasa ada, jadi pada asasnya model perniagaan ini adalah penting.
“Antara kekuatan yang ditonjolkan Malaysia ialah tahap kepelbagaian kes penggunaan yang dapat memastikan kita menuju ke arah era 5G, bagaimana kajian kes ini dibangunkan dan dipercepat.
“Kita benar-benar perlu menantikan kejayaan kes penggunaan yang awal yang kita dapat pertingkatkan,” katanya kepada pemberita di luar Simposium Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini semalam.
Lovelock merupakan antara penceramah utama pada simposium selama sehari itu dengan tema “Malaysia on the Cusp of Hyper-connectivity”.
Ia dihadiri kira-kira 300 peserta termasuk pelajar, ahli akademik, wakil dari agensi kerajaan, penggiat industri komunikasi dan multimedia, pengamal dan penyelidik yang berpotensi.
Turut hadir Ketua Pegawai Digital SKMM Gerard Lim Kim Meng.
Lovelock berkata kerjasama antara pihak kerajaan dan institut penyelidikan adalah penting untuk menyokong syarikat tempatan melaksanakan ujian.
“Kita perlu merealisasikan eksperimen ini dan melihat bagaimana ia berfungsi dan berhubung,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan memperkenalkan geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta untuk menggalakkan inovasi teknologi di negara ini.
Pada masa ini, sebanyak 55 kes penggunaan berada dalam fasa demonstrasi di 32 lokasi di enam negeri melibatkan sembilan vertikal untuk tempoh enam bulan dari 1 Okt, 2019 hingga 31 Mac, 2020.
Jumlah pelaburan projek demonstrasi 5G yang dibiayai penggiat industri berjumlah RM116 juta.
5G dijangka memberikan 10 kali lebih tinggi kelajuan daripada teknologi 4G, dengan kelajuan melebihi 1Gbps, dan akan menawarkan kapasiti dan pengalaman pengguna yang lebih baik.
— BERNAMA