
Malaysia catat lebihan imbangan akaun semasa RM4.3 bilion pada suku pertama
KUALA LUMPUR,. Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia terus mencatat lebihan pada nilai RM4.3 bilion atau 1.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Jumlah itu merupakan penurunan daripada RM27.5 bilion (5.9 peratus daripada KDNK) bagi suku sebelumnya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata lebihan CAB pada suku ini disokong terutamanya oleh eksport bersih barangan.
“Akaun barangan mencatat eksport bersih RM39.9 bilion pada suku pertama 2023, susut sebanyak 30.9 peratus suku ke suku.
“Eksport barangan pula berjumlah RM261.5 bilion, turun 17.6 peratus berbanding suku akhir 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata eksport utama adalah elektrik dan elektronik (E&E); produk petroleum dan kimia terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat (AS).
Pada masa sama, import barangan turun 14.6 peratus suku ke suku kepada RM221.6 bilion dengan . import utama negara ini adalah barangan perantaraan, modal dan penggunaan terutamanya dari China, Singapura dan Taiwan.
“Akaun perkhidmatan mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM12.8 bilion pada suku pertama 2023, berikutan aktiviti perjalanan menunjukkan lebihan lebih rendah manakala pembinaan berubah daripada lebihan kepada defisit.
“Eksport perkhidmatan bernilai RM41.0 bilion berbanding RM43.8 bilion pada pada suku sebelumnya. Eksport perjalanan merangkumi perbelanjaan pelawat asing di Malaysia merupakan penyumbang utama bagi eksport perkhidmatan yang mencatat nilai tertinggi RM12.3 bilion, peningkatan sederhana sebanyak 0.4 peratus berbanding suku sebelumnya,” katanya.
Mohd Uzir berkata, akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih RM2.4 bilion berbanding RM1.1 bilion pada suku sebelumnya.
Ini terutamanya disumbangkan oleh aliran keluar pelaburan portfolio pada RM33.3 bilion dan derivatif kewangan pada RM0.9 bilion.
“Pelaburan lain mencatatkan aliran masuk bersih lebih rendah sebanyak RM20.9 bilion berbanding RM36.6 bilion pada suku sebelumnya manakala pelaburan langsung berubah arah aliran untuk merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM10.9 bilion daripada aliran keluar bersih RM9.3 bilion pada suku akhir tahun lepas,” katanya.
Mohd Uzir menjelaskan, pelaburan langsung di luar negara (DIA) merekodkan aliran keluar bersih lebih rendah sebanyak RM1.1 bilion berbanding RM28.5 bilion pada suku sebelumnya.
Penyumbang utama aliran keluar adalah sektor perkhidmatan terutama elektrik, diikuti oleh sektor pembuatan dan pertanian manakala tiga destinasi utama DIA ialah Singapura, AS dan Vietnam.
“Aliran masuk bersih lebih rendah sebanyak RM12.0 bilion direkodkan dalam pelaburan langsung asing (FDI) berbanding RM19.2 bilion pada suku sebelumnya.
“Perkhidmatan merupakan sektor terbesar dalam FDI terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembuatan. Sumber utama FDI adalah dari Mauritius, Switzerland dan Hong Kong,” katanya.
Merujuk pelaburan terkumpul, beliau berkata pada suku pertama 2023, kedudukan FDI adalah RM893.2 bilion manakala DIA sebanyak RM617.0 bilion.
Kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia mencatat aset bersih sebanyak RM84.5 bilion manakala rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM509.8 bilion, kata beliau.
— BERNAMA