
Malaysia dalam kedudukan baik hadapi cabaran tahun ini – MIDF
KUALA LUMPUR,. Malaysia kekal berada dalam kedudukan baik untuk mengemudi cabaran, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh, permintaan domestik yang teguh, perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan dan peningkatan pelaburan.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata asas pertumbuhan domestik kekal kukuh, dipacu oleh peningkatan perbelanjaan daripada pengguna dan perniagaan yang akan terus menyokong pengembangan ekonomi pada tahun ini.
Malah, selain daripada peningkatan perbelanjaan kerajaan, aktiviti pelaburan akan didorong oleh permulaan dan kemajuan pelbagai projek infrastruktur.
“Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dengan prospek perdagangan Malaysia dalam keadaan ketidaktentuan yang meningkat dalam perdagangan global.
“Persekitaran perdagangan Malaysia mungkin lebih mencabar dalam tempoh beberapa bulan akan datang, terutamanya sekiranya Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas semikonduktor dan barangan buatan lain,” katanya.
Sehubungan itu, MIDF Amanah menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang pada kadar lebih stabil 4.6 peratus pada 2025, menyusut daripada lonjakan dan pertumbuhan kukuh 5.1 peratus pada tahun lepas.
Perbelanjaan domestik
MIDF Amanah menjangkakan pertumbuhan yang berterusan dalam perbelanjaan domestik, dipacu oleh pasaran buruh yang kukuh, inflasi terkawal, dasar monetari akomodatif dan pemulihan dalam aktiviti pelancongan.
Menurutnya langkah sokongan kerajaan termasuk bantuan tunai akan menggalakkan lagi perbelanjaan.
Selain itu, akses kepada akaun dana persaraan yang fleksibel, kenaikan gaji penjawat awam dan peningkatan gaji minimum akan turut memperkukuh pertumbuhan penggunaaan pada tahun ini.
“Perayaan Aidilfitri yang akan datang dijangka meningkatkan lagi aktiviti runcit pada suku tahun akan datang,” katanya.
Perubahan sektor meluas dijangkakan
Sektor ekonomi utama dijangka terus berkembang tahun ini dengan sektor perkhidmatan yang dipacu oleh pertambahan perbelanjaan isi rumah serta ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang meningkat.
“Walaupun terdapat penyesuaian dasar seperti kenaikan harga diesel dan tarif utiliti yang lebih tinggi, tekanan harga keseluruhan kekal terkawal, mengurangkan impak terhadap kuasa beli pengguna.
“Rasionalisasi subsidi bahan api RON95 yang ditunda sehingga pertengahan 2025 terus menyokong perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat,” katanya.
MIDF Amanah berkata sektor pembinaan dijangka meneruskan pertumbuhan kukuh, mendapat manfaat daripada projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), peluasan lapangan terbang Miri dan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.
Ia juga kekal optimis mengenai pengembangan pusat data yang telah menyokong import barangan modal dan menjana permintaan untuk sektor pembinaan dan utiliti.
Risiko penurunan kepada prospek pertumbuhan
Menurutnya ketidaktentuan luaran yang meningkat boleh memberi cabaran kepada sektor perdagangan dan eksport Malaysia.
Langkah tindakan balas oleh negara lain juga telah meningkatkan ketegangan geopolitik dan perdagangan, membentuk semula pakatan perdagangan global dan menyumbang kepada persekitaran perdagangan yang lebih tidak seragam, yang mungkin melemahkan aktiviti perdagangan global.
“Walaupun bacaan inflasi yang lebih rendah pada Februari 2025 meningkatkan harapan kepada pengurangan kadar oleh Rizab Persekutuan AS menjelang pertengahan tahun ini, kelegaan itu dijangka sementara.
“Impak sepenuhnya kenaikan tarif Presiden AS Donald Trump serta dasar yang lebih luas seperti pengurangan cukai, penyahkawalseliaan dan peraturan imigresen yang lebih ketat boleh memacu inflasi, menjejaskan sentimen pengguna dan kuasa beli,” katanya.
— BERNAMA