Malaysia dan kumpulan industri India jalin kerjasama promosi pengeluaran minyak sawit mampan

NEW DELHI,. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai perjanjian dengan sebuah kumpulan industri terkemuka di India untuk mempromosi pengeluaran dan perdagangan minyak sawit yang mampan.

Matlamatnya untuk mempromosi Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rangka Kerja Kelestarian Minyak Sawit India (IPOS) dengan menyelaraskan dua set piawaian kebangsaan dan memudahkan eksport Malaysia ke India, kata Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.

Memorandum persefahaman itu ditandatangani MPOB dengan Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) India dan organisasi sokongan kemampanan Solidaridad Network Asia Limited (SNAL) di Mumbai pada Khamis.

Perkongsian itu bakal meneraju promosi bersama minyak sawit IPOS dan MSPO di pasaran India dan menyokong pengeluar minyak sawit kecil di Malaysia untuk menghasilkan secara lestari, kata SEA.

“Terdapat perancangan memulakan kempen promosi di India untuk menutup jurang mengenai isu persepsi, tuduhan dan realiti minyak sawit,” kata kumpulan industri India.

Ini akan membantu sektor minyak sawit untuk jangka panjang dengan mengurangkan halangan dan memudahkan pengeluaran serta perdagangan yang lestari, kata Presiden SEA Atul Chaturvedi.

Inisiatif nasional seperti MSPO dan IPOS diterajui kerajaan dan pihak berkepentingan tempatan sebagai kunci kepada transformasi sektor minyak sawit yang luas dan menyeluruh, kata pengarah urusan Solidaridad Asia, Shatadru Chattopadhayay.

“Pihak berkepentingan Asia memutuskan untuk menentukan sendiri apa yang boleh dikekalkan pengeluar dan pengguna. Ini adalah gerakan agenda tempatan yang disokong Solidaridad dan menghindari ia dilihat sebagai ‘agenda barat’,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )