Malaysia gesa NAM pertahan pendirian berprinsip mengenai isu Palestin

Malaysia gesa NAM pertahan pendirian berprinsip mengenai isu Palestin

PUTRAJAYA,. Malaysia menggesa negara-negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk terus bersatu dalam mempertahankan pendirian berprinsip NAM mengenai Palestin, serta mengecam kekejaman dan dasar aparteid rejim Israel.

Ini adalah antara isu dibangkitkan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri NAM Mengenai Palestin yang diadakan di Baku, Azerbaijan pada Rabu, menurut kenyataan Kementerian Luar.

“Malaysia turut menzahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa di Palestin, sehingga menyebabkan kehilangan nyawa orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak serta kemusnahan bangunan dan infrastruktur secara berterusan.

“Ia juga mengecam jumlah peningkatan penempatan haram di Palestin dan tindakan rejim Israel yang memperlekehkan undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Azerbaijan dan dihadiri oleh 15 negara anggota NAM yang merupakan anggota Jawatankuasa NAM Mengenai Palestin.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengesali insiden terkini di Jenin yang melibatkan pembunuhan rakyat awam Palestin oleh rejim Israel.

Selain itu, ia turut mengkritik sikap pilih kasih negara-negara Barat yang kerap mengecam konflik di negara-negara lain tetapi melindungi rejim Israel daripada bertanggungjawab ke atas tindakan penindasan terhadap warga Palestin.

“Pendirian Malaysia masih kekal sama iaitu memperakui hak Palestin dan rakyatnya untuk memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat sama seperti negara merdeka yang lain di dunia,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )