Malaysia hantar 12 atlet paralimpik ke temasya Sukan INAS 2019
KUALA LUMPUR,. Malaysia membariskan 12 atlet paralimpik pada penyertaan sulung negara di temasya sukan global Persekutuan Antarabangsa Bagi Atlet Kecacatan Intelektual (INAS) 2019 di Brisbane, Australia, bermula Sabtu ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias berkata, temasya sukan empat tahun sekali itu akan menjadi medan pendedahan sebelum atlet negara menghadapi Sukan Para ASEAN ke-10 di Filipina dari 18 sehingga 25 Jan 2020.
“Kita berharap atlet paralimpik akan dapat mengharumkan nama negara walaupun ini kali pertama mereka mengambil bahagian dalam Sukan INAS 2019,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Law King Kiew, yang juga Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, berkata, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran terutamanya kepada atlet olahraga para, namun berharap mereka dapat melakar keputusan positif pada temasya sukan selama seminggu itu.
Beliau memaklumkan penyertaan atlet paralimpik negara itu adalah sebagai persediaan awal untuk menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Kita nak tengok catatan masa, kelemahan dan kekuatan atlet pada temasya itu namun fokus utama saya masih lagi mempersiapkan atlet paralimpik untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.
Berkongsi pandangan sama adalah atlet Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin yang menyatakan penyertaan di Brisbane adalah sekadar memantapkan persediaannya memburu tiket ke Tokyo.
“Temasya sukan ini menjadi medan terbaik bagi diri saya untuk memperbaiki catatan masa sebelum menghadapi Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada November ini,” kata Siti Noor Lasah yang meraih pingat emas dalam acara 400m T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
Malaysia akan menyertai tiga daripada 10 acara, iaitu olahraga, renang dan ping pong pada temasya sukan berkenaan yang menarik penyertaan 66 buah negara.
— BERNAMA