Malaysia hasrat bekerjasama dengan negara Caribbean – Menteri Pengangkutan

Malaysia hasrat bekerjasama dengan negara Caribbean – Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan negara-negara Caribbean di bawah Program Kerjasama Teknikal Bersepadu Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi menangani beberapa isu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam hantaran di Facebook berkata perkara tersebut telah dibangkitkan pada mesyuarat dua hala pada Khamis dengan Sekretariat Suruhanjaya Pengangkutan Maritim Amerika Tengah (COCATRAM) yang diketuai oleh Ketua Pengarah Direktorat Pelaut Kapten Juan E. Maltez P.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Duta Panama ke United Kingdom Natalia Royo dan Duta Misi Tetap ke IMO Luis Bernal Gonzalez.

“Kami mahu bekerjasama untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) daripada kapal dan mengawal Kapal-kapal Permukaan Berautonomi Maritim di pelabuhan. “Sekretariat telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka akan membawa isu ini untuk dibincangkan.

“Panama juga mengiktiraf usaha Malaysia untuk melindungi pelaut, tempatan dan asing, dan berikrar untuk meneruskan pertukaran ilmu dalam bidang maritim berkaitan,” katanya. Terdahulu, Wee berkata beliau telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Sekretariat COCATRAM, di luar Perhimpunan IMO ke-32 semalam dan memperoleh pelbagai ilmu mengenai isu maritim daripada kumpulan yang terdiri daripada Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica dan Panama.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)