Malaysia-Indonesia setuju laksana koridor perjalanan

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah.

“Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang telah divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan. “Koridor perjalanan ini juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR COVID-19,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif tersebut akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara.

“Pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi di antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam,” jelasnya.

Justeru, kedua-dua pemimpin berharap inisiatif tersebut dapat dimuktamadkan segera dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022.

Ismail Sabri bertemu Jokowi seiring lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik itu yang bermula semalam. Terdahulu, Ismail Sabri diberikan sambutan karpet merah dan kawalan kehormat. Beliau disambut oleh Jokowi sebaik tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi Presiden.

Lawatan Malaysia ke Indonesia turut disertai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )