
Malaysia Komited Ungguli Pusat Data AI Lestari Di Asia Tenggara
PUTRAJAYA – Kerajaan komited untuk memacu Malaysia sebagai destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Lestari di rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan selari dengan komitmen itu, meluluskan pelaburan berjumlah RM114.7 bilion dalam pusat data dan perkhidmatan awan bagi tempoh 2021 hingga 2023.
“Pelaburan itu menyediakan 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber, dan jurutera rangkaian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau mesyuarat itu menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan selaras usaha menggalakkan pelaburan berterusan dalam sektor pusat data berteraskan AI.
“Ini terutama bagi langkah yang meningkatkan limpahan ekonomi melalui pendigitalan serta kompleksiti ekonomi pelbagai sektor di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu jelas beliau, MPN hari ini bersetuju supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menambah baik kerangka insentif semasa, melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air.
“Ia mencakupi kerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi kegunaan pusat data AI.
“Kerangka tersebut juga akan merangkumi padanan pemain pusat data dengan syarikat tempatan bagi tujuan pembangunan vendor tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kerjasama antara industri dan akademia bagi memupuk inovasi dalam pembangunan peralatan cekap tenaga dan perisian,” katanya.
– Getaran, 11 Jun 2024