Malaysia lancar perpustakaan digital kesihatan pertama berkaitan kanser

Malaysia lancar perpustakaan digital kesihatan pertama berkaitan kanser

KUALA LUMPUR,. Perpustakaan digital kesihatan pertama Malaysia, yang dinamakan sebagai Beauty (Bringing Education And Understanding To You) and Health Digital Library for Health Promotion and Health Screening Portal, dilancarkan secara rasmi semalam bersama-sama 44 video dan 48 buku kecil dengan maklumat komprehensif mengenai kanser.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata perpustakaan digital itu memiliki konsep asas yang wajar dipuji terutama dalam menyebarkan maklumat secara inklusif berkaitan kanser kepada orang ramai.

“Membincangkan isu kanser adalah sesuatu yang mencabar dan memberi kesan terhadap emosi untuk kebanyakan orang khususnya dalam konteks Malaysia di mana penyakit itu masih dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan perpustakaan digital itu di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini malam tadi.

Beliau berkata perpustakaan itu boleh membantu ahli keluarga mengenai kepentingan pengesanan awal gejala kanser kerana rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa dan inisiatif ini dijangka mampu mendidik orang ramai kepentingan menjaga kesejahteraan seluruh ahli keluarga serta teman rapat.

“Projek Beauty and Health, yang menggabungkan pusat kecantikan dan salun rambut, tampil sebagai langkah bijak untuk mendekati khalayak lebih luas… inisiatif ini bertujuan memulakan perbualan mengenai kesihatan termasuk pencegahannya, dalam mewujudkan topik perbincangan yang lazimnya dianggap tidak konvensional,” katanya.

Perpustakaan itu dilengkapi Portal Pendaftaran Saringan Kesihatan yang menawarkan hab bagi penilaian kendiri kanser serta penyimpanan data kesihatan dan boleh diakses oleh orang ramai bagi pengurusan kesihatan yang proaktif selain mengekalkan rekod klinikal terperinci untuk rekod penjagaan diri dan kesihatan.

Perpustakaan digital itu dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Forum Kanser Asia (ACF) yang menghasilkan buku serta video pendidikan mengenai pelbagai jenis kanser dalam Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)