Malaysia lokasi ideal buat syarikat asing kembangkan pelaburan – MIDA

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 28 Oktober — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan pelabur asing akan terus memanfaatkan Malaysia untuk memperluas jejak mereka di rantau ini walaupun terdapat cabaran dan ketidakpastian dalam ekonomi global disebabkan pandemik COVID-19.

Pengerusi MIDA, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata walaupun pandemik itu menjadi penentu bagi perniagaan, ia juga menunjukkan perlunya syarikat mengkaji dan menyusun semula rangkaian rantaian bekalan mereka daripada terlalu bergantung kepada satu negara tertentu.

Katanya, rangkaian rantaian bekalan tempatan Malaysia yang kukuh dan boleh dipercayai akan memudahkan peralihan syarikat global untuk memulakan operasi mereka di sini.

Pada masa sama, Malaysia juga menempatkan dirinya sebagai hab rantaian bekalan global di Asia, tambahnya.

“Dengan tetap mengikuti pendekatan ekosistem dalam menarik pelabur di dalam negara, MIDA mengutamakan pengembangan rantaian nilai di sektor yang disasarkan.

“Ini juga untuk menawarkan prospek pertumbuhan jangka panjang dan berkesinambungan bagi pelabur untuk kekal dan berkembang di Malaysia,” katanya dalam temu bual bertulis dengan Bernama.

Katanya, MIDA terus mendorong pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor pembuatan, terutama di subsektor pemangkin – iaitu bahan kimia, elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan, aeroangkasa dan peralatan perubatan; manakala di sektor perkhidmatan, ia mensasarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang seperti logistik, e-dagang, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Trend baharu yang menarik dalam ekonomi tanpa sentuhan juga telah dikenal pasti seperti pelancongan digital, fintech, kilang pintar generasi penerus, pusat percubaan klinikal untuk negara-negara membangun dan pembelajaran dalam talian global,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Majid berkata MIDA akan terus inovatif, termasuk memanfaatkan pendigitalan dan automasi untuk menarik pelaburan ke negara ini.

“Berkenaan penutupan sempadan antarabangsa yang sedang dilaksanakan dan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan yang ketat yang berlaku di seluruh dunia untuk membendung penyebaran COVID-19, MIDA terus bekerjasama dalam memberikan nasihat dan sokongan kepada para pelabur sedia ada dan berpotensi.

“Ia memerlukan kita untuk menyesuaikan dengan pantas kebiasaan baharu yang telah mempercepatkan keperluan terhadap teknologi digital dan inovasi,” katanya.

Abdul Majid menambah sejak Mac tahun ini, MIDA telah melancarkan beberapa aktiviti promosi pelaburan yang inovatif dan agresif untuk terlibat dengan pelabur berpotensi dalam norma baharu.

Ini termasuk mengatur webinar dengan kerjasama dewan perdagangan, bank dan komuniti perniagaan antarabangsa seperti Dewan Perniagaan China di Malaysia (CECCM), Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (EUMCC), Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia ( MFCCI), Dewan Perniagaan Malaysia Amerika (AMCHAM), Deloitte, HSBC, dan Standard Chartered.

Ia juga menandatangani memorandum persefahaman dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menarik pelaburan berkualiti ke negara ini, termasuk UMW Land Sdn Bhd, Chugoku Economic Federation (CEF) Jepun, Industrial and Commercial Bank of China (ICBC Bank), Korea Trade-Investment Promotion Agency ( KOTRA) dan Agensi Promosi Pelaburan Qatar (IPAQ).

Awal bulan ini, Pusat Sehenti MIDA dibuka secara rasmi untuk memudahkan pelabur dan pelaburan. Ia juga menilai dan menyetujui permohonan pelancong perniagaan yang layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata setakat ini, MIDA mempunyai saluran projek pelaburan bernilai RM54 bilion dan ini dijangka meningkat lebih tinggi apabila ekonomi kembali normal.

Walaupun berhadapan dengan banyak halangan di peringkat global, Abdul Majid berkata untuk enam bulan pertama 2020, Malaysia telah mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 69.8 peratus (RM45.3 bilion) manakala selebihnya RM19.5 bilion adalah daripada pelaburan langsung asing (FDI).

Abdul Majid juga menggesa perniagaan untuk segera menyesuaikan diri dengan landskap teknologi yang berubah dengan pantas dan norma baharu dalam menjalankan perniagaan.

“Melihat perubahan itu tidak dapat dielakkan, komuniti perniagaan harus bekerja secara aktif untuk membangun dan mengembangkan kemampuan mereka. Dalam hal ini, pendigitalan dan automasi memberikan peluang besar dalam membolehkan perniagaan menjadi lebih berdaya saing,” tambahnya.

MIDA ditubuhkan pada 1967 untuk memantau dan mendorong pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Selain ibu pejabat di Malaysia, ia juga mempunyai 20 pejabat di luar negara dan 12 pejabat kawasan di seluruh dunia.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )