Malaysia mampu capai sasaran 3.6 peratus peningkatan produktiviti tahun ini

Malaysia mampu capai sasaran 3.6 peratus peningkatan produktiviti tahun ini

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yakin Malaysia mampu mencapai sasaran peningkatan produktiviti 3.6 peratus pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata unjuran itu dapat dicapai pada tahun ini dengan sokongan sektor awam dan swasta susulan pelaksanaan inisiatif yang dirancang dalam pelan tindakan produktiviti di bawah Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) terutamanya untuk 11 subsektor utama yang diterajui oleh Nexus Produktiviti.

Beliau memetik kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyatakan bahawa produktiviti buruh bagi suku tahun kedua 2022 meningkat sebanyak 5.5 peratus yang merupakan peningkatan lebih tinggi berbanding 2.7 peratus pada suku pertama.

“Ini bererti Malaysia berada pada landasan yang positif. Peningkatan produktiviti buruh dipacu oleh produktiviti dalam sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 7.5 peratus, sektor pembuatan sebanyak empat peratus dan sektor pembinaan sebanyak 2.9 peratus.

“Ini satu kejayaan selepas peralihan ke fasa endemik bermula 1 April 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Latif berkata MPC melaksanakan pelbagai strategi dalam merealisasikan sasaran peningkatan produktiviti, antaranya ialah inisiatif dalam melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang menyasarkan 10,000 peningkatan kemahiran baharu pekerja sektor swasta bagi 2022.

Selain itu, MPC turut memperkasa industri dalam melaksanakan program peningkatan produktiviti negara melalui platform Nexus Produktiviti.

“MPC juga memberi tumpuan kepada pengembangan teknologi dan digitalisasi yang mana usaha ini sejajar dengan inisiatif di bawah Dasar Negara Mengenai Industry4WRD yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Menurutnya, MPC menyasarkan sebanyak 260 syarikat menerima kelulusan Penilaian Kesediaan (RA) pada tahun ini.

Sementara itu, Abdul Latif berkata bengkel digital MPC melalui Myreskill IOT yang disediakan kepada pekerja yang terkesan semasa pandemik terutama di organisasi swasta turut meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi.

“Peranan MITI bersama MPC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mampu merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemboleh ubah strategik untuk memacu produktiviti negara,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )