Malaysia perlu dibangunkan sebagai negara digital

Malaysia perlu dibangunkan sebagai negara digital

KUALA LUMPUR,. Malaysia perlu dibangunkan sebagai negara digital dalam pembentukan blok ekonomi digital ASEAN, menurut Institut Penyelidikan CIMB-ASEAN.

Pengarah Eksekutifnya Jukhee Hong berkata hasrat itu dapat dicapai melalui beberapa inisiatif transformasi pendigitalan di Malaysia dan pelaksanaan inisiatif ini sekali gus dilihat dapat memenuhi potensi ekonomi digital ASEAN dengan mewujudkan komuniti digital serantau.

“Antara cadangan inisiatif termasuk transformasi digital untuk Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) seperti pembangunan lestari untuk membantu PKS dari luar talian ke dalam talian, dan pendigitalan sistem kewangan serta pentadbiran awam.

“Polisi e-dagang dalam talian juga perlu diselaraskan dengan peraturan antarabangsa, perkongsian data rentas sempadan yang selamat dan dilindungi peraturan ketat, infrastruktur digital serta jurang kemahiran (digital) perlu diperbaiki dari segi latihan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung Temu Minda: Malaysia Nadi Digital ASEAN bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, disiarkan di Facebook Live KKMM, saluran TV1 RTM dan Bernama TV malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TIME dotCom Berhad Afzal Abdul Rahim pula berpendapat lapisan infrasruktur merupakan asas utama dalam memangkin ekonomi digital sesebuah negara.

Beliau berkata dengan infrastruktur dan akses kepada Internet, zaman digital merupakan ‘the great equalizer’ (penyama) yang membolehkan komuniti menggunakan teknologi dalam talian seterusnya menyumbang secara langsung kepada ekonomi digital.

Esok, Saifuddin akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat Berkaitan yang dihoskan Malaysia.

Mesyuarat secara maya selama dua hari itu akan dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga akan menyampaikan ucaptama secara maya pada jam 10 pagi.

Bertemakan ‘ASEAN – Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital’, mesyuarat itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara negara ASEAN ke arah membina ekosistem digital sebagai tonggak dalam pelan pembangunan pasca-COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )